mattzzx Publish time 18-3-2024 03:08 PM

Mekanisme subsidi bersasar tidak beban industri sedia ada

https://assets.bharian.com.my/images/articles/desel_1710745344.jpg
Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi bersasar masih dalam pertimbangan kerajaan dan dijangka tidak meningkatkan kos terhadap industri sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, menegaskan kerajaan akan menitikberatkan aspek pelaksanaan dan komunikasi berkesan kepada pihak industri dalam memastikan tidak berlaku kejutan terhadap ekonomi.

Katanya, pelaksanaan pemberian subsidi bersasar akan dibuat secara berperingkat, tertakluk ketersediaan berasaskan model bersesuaian dan kebolehlaksanaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas.

Seperti diumum dalam Belanjawan 2024, beliau berkata, kerajaan akan menumpukan penyasaran subsidi diesel terlebih dahulu melalui kaedah dan mekanisme diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) pada 6 Mac lalu.


"Perluasan pemberian di bawah Sistem Kawalan Subsidi Diesel 2.0 (SKDS 2.0) kepada sembilan jenis kenderaan barangan dibuka untuk permohonan bermula 7 Mac lalu dan dijangka memanfaatkan lebih 260,000 kenderaan.

"Sejak 8 Mac sehingga 16 Mac (kelmarin), sejumlah lebih 5,800 syarikat dengan lebih 34,400 bilangan kenderaan mendaftar dalam SKDS 2.0," katanya menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau meminta semua pemilik kenderaan yang layak berdaftar di bawah SKDS 2.0 untuk terus menikmati subsidi pada masa hadapan.

Hui Ying berkata, jumlah perbelanjaan subsidi diesel tahun lalu mencecah RM14.3 bilion, yang mana jumlah penggunaan meningkat kepada 10.8 bilion liter setahun berbanding 6.1 bilion liter pada 2019, tahun sebelum pandemik COVID-19.

"Peningkatan jumlah penggunaan sebanyak 70 peratus ini dilihat tidak selari dengan pertambahan bilangan kenderaan diesel yang hanya mencatat peningkatan kurang tiga peratus.

"Ini mengukuhkan dakwaan ketirisan subsidi diesel adalah sangat besar," katanya.

Ketika ini, katanya, semua kenderaan diesel dalam kategori pengangkutan awam di bawah SKDS sedia ada termasuk van atau bas sekolah, sudah menikmati harga diesel bersubsidi pada kadar RM1.88 seliter manakala golongan nelayan menerima subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter.

"Kedua-dua kategori ini kekal menikmati harga diesel dan tidak terbabit dalam Program Pemberian Subsidi Diesel secara bersasar," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1224974/mekanisme-subsidi-bersasar-tidak-beban-industri-sedia-ada
Pages: [1]
View full version: Mekanisme subsidi bersasar tidak beban industri sedia ada


ADVERTISEMENT