mattzzx Publish time 18-3-2024 10:52 AM

'Tak sempat sahur jadi perkara biasa'

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/18hmbommmbaa3_1710713716.jpg
ANGGOTA bomba perlu memakai sut perlindungan diri (PPE) serta membawa hos dengan anggaran beban 90kg.

Shah Alam: Bukan sahaja berdepan dengan bahang, malah perlu memikul bebanan sehingga mencecah 90 kilogram (kg) pada satu-satu masa ketika operasi kebakaran.

Ia antara cabaran perlu dilalui pegawai dan anggota bomba semasa menjalankan tugas terutama pada bulan Ramadan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, tugas pemadaman bertambah sukar apabila membabitkan kawasan yang luas serta bahan mudah terbakar.

"Bayangkan setiap kali operasi pemadaman, anggota bertugas perlu memakai sut perlindungan diri (PPE) serta membawa hos dengan anggaran beban dibawa mencecah 90kg.



"Setiap kali operasi juga pasti kami akan basah lencun dengan peluh kerana bahang daripada api serta keringat membawa beban semasa operasi.

"Ia sekali gus menjadikan cabaran tugas pegawai dan anggota bomba yang menjalani ibadat puasa berlipat kali ganda pada Ramadan," katanya ditemui di Ibu Pejabat JBPM Selangor di Bukit Jelutong di sini.

Ahmad Mukhlis berkata, sepanjang 13 tahun berkhidmat sebagai pegawai bomba, beliau melihat semua anggota memberikan komitmen yang baik semasa bertugas.

"Jika dilihat skop tugas bomba, kami tidak hanya terhad kepada pemadaman api tetapi juga membabitkan operasi lain seperti orang hilang, kemalangan jalan raya, haiwan berbisa, bencana alam dan lain-lain.

"Malah, ada kes pelik dan mencuit hati pernah saya lalui semasa bertugas di Negeri Sembilan apabila menjadi bidan menyambut anak kucing yang baru dilahirkan. Kes sebegini juga kami pernah terima.

"Disebabkan itu, kami sentiasa dalam keadaan bersiap siaga untuk menjalankan tugas terutama pada bulan puasa dengan keadaan cuaca yang kering dan panas berikutan peralihan monsun ketika ini, katanya.

Katanya, sebagai pegawai dan anggota bomba adalah perkara biasa apabila tidak sempat bersahur dan berbuka puasa ala kadar disebabkan kekangan tugas.

"Bagaimanapun, kami tetap kuatkan semangat dan masih boleh teruskan ibadat puasa semasa bertugas kerana sedar bahawa ia adalah tugas mulia apabila boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda masyarakat.

"Dalam menjalani ibadat puasa, kita tambahkan pahala dengan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi supaya mendapat keberkatan pada bulan Ramadan," katanya.

Sementara itu, anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik Mohd Rezdduan Abdullah, 39, berkata, sepanjang 18 tahun berkhidmat, beliau kerap berbuka puasa di lokasi kejadian terutama di jalan raya.

"Pada bulan Ramadan, saya selalunya terbabit dengan operasi kemalangan jalan raya yang kerap berlaku pada petang iaitu ketika menghampiri waktu berbuka puasa.

"Antara pengalaman paling mencabar dilalui adalah semasa kebakaran kilang di Sungai Buloh dua tahun lalu.

"Saya hanya berhenti sekejap (padam kebakaran) untuk minum air kosong bagi berbuka puasa sebelum meneruskan pemadaman api yang bermula jam 2.30 petang hingga jam 8 malam pada hari kejadian," katanya.

Menurutnya, beliau kerap memasak sendiri juadah berbuka puasa bersama rakan sepasukan sekiranya ada waktu terluang memandangkan mereka tidak berkesempatan untuk keluar membeli makanan.

"Ada masa, kami masak sendiri sebab ia lebih senang memandangkan kami perlu sentiasa dalam keadaan bersedia sepanjang masa.

"Ia secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan kami sekali gus dapat menjalani ibadat puasa bersama-sama," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1071148/tak-sempat-sahur-jadi-perkara-biasa
Pages: [1]
View full version: 'Tak sempat sahur jadi perkara biasa'


ADVERTISEMENT