Vellfire Publish time 17-3-2024 09:03 PM

Komponen GRS diminta hanya letak calon pasti Menang

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240317/kks-ub170324-ysh-hajiji1.jpg

MELAWAT: Hajiji bersama anaknya Mohd Danish melawat Bazar Ramadan di CKS Kampung Selupoh.
TUARAN: Parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diminta hanya meletakkan calon pasti menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kini bukan masanya untuk melobi bagi mendapatkan kerusi.
“Kita semua akan menggunakan satu simbol iaitu simbol GRS. Jadi ia bukan semua tentang kerusi tetapi apa yang kita mahukan ialah calon pasti menang.
“Saya berharap semua pemimpin kita menggunakan kebijaksanaan dalam meneruskan perjuangan untuk rakyat dan pembangunan negeri,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di sini, semalam.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengingatkan pemimpin Gagasan Rakyat di Sulaman agar meneruskan perjuangan dan kerjasama di peringkat akar umbi.
“Ini sangat penting memandangkan cabaran yang sedang kita hadapi,” katanya sambil mengulangi bahawa penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang akan tamat pada Oktober tahun depan.
Hajiji yang merupakan Presiden Gagasan Rakyat berkata, adalah penting pemimpin akar umbi turun padang dan bertemu rakyat untuk mengetahui masalah mereka, seterusnya mengutarakan kepada perhatian pucuk pimpinan.
ADUN Sulaman itu berkata, pada masa ini terdapat lebih 200 cawangan di kawasannya, sekali gus menunjukkan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat kini semakin mendapat sambutan.
“Semua ini hanya boleh dicapai jika kita bersatu. Elakkan isu remeh dan peribadi, sebaliknya lihat kepada gambaran yang lebih besar iaitu kita memerlukan kerajaan yang stabil.
“Malah mereka (pembangkang) menyalahkan Hajiji (saya) dalam media sosial atas kemarau semasa yang melanda Sabah,” katanya.
Namun begitu, Hajiji berkata, semua pemimpin dan ahli parti perlu berpegang teguh kepada prinsip dan kebijaksanaan.
https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240317/dsc8643.jpg
AMANAT: Hajiji ketika menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Beliau menggesa ahli parti untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan mempertahankan parti daripada fitnah pembangkang.
Dalam majlis berkenaan, Hajiji bersama lebih 1,000 pengundi Sulaman berbuka puasa di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Tuaran.
Sebelum majlis berbuka puasa, Hajiji ditemani anaknya, Mohd. Danish mengunjungi Bazar Ramadan di CKS Kampung Selupoh di mana mereka membeli juadah berbuka puasa.
Selepas itu, Hajiji mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman di bilik mesyuarat Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/17/komponen-grs-diminta-hanya-letak-calon-pasti-menang
Pages: [1]
View full version: Komponen GRS diminta hanya letak calon pasti Menang


ADVERTISEMENT