mattzzx Publish time 17-3-2024 04:17 PM

Daniel boleh ganti Matt atau Junior

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/HARIMAU_MALAYA_1710660716.jpg
DANIEL berkata, dia juga tidak berhadapan masalah untuk diletakkan sebagai pertahanan kanan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Sepang: Jentera pertahanan negara tidak akan berhadapan masalah tanpa kehadiran dua tonggak utama Junior Eldstal dan Matthew Davies yang terpaksa disisihkan kerana kecederaan ketika sesi latihan bersama kelab, baru-baru ini.

Hal ini kerana, skuad Harimau Malaya mempunyai barisan pertahanan kental lain antaranya pemain Sabah FC, Daniel Ting yang sudah bersedia menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan Davies atau Junior.

Daniel berkata, dia juga tidak berhadapan masalah untuk diletakkan sebagai pertahanan kanan bagi menggantikan Davies pada perlawanan menentang Oman kelak.

Walaupun menyedari peranan yang diletakkan di bahunya itu cukup besar namun dia percaya mampu melaksanakannya demi negara.



"Jika itu yang apa yang jurulatih (Kim Pan-gon) mahu saya lakukan, itu tidak jadi satu masalah. Seperti yang anda katakan, saya pernah beraksi di situ sebelum ini, jadi apa saja yang jurulatih nak, kita akan ikut.

"Saya fikir itu bukan posisi asal saya (bek kiri) tetapi saya gembira melakukan apa saja peranan yang diperlukan (jurulatih)," katanya, ketika ditemui di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama bekas pemain pertahanan KL City FC itu menggalas peranan sebagai bek kanan bersama skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini, Daniel diturunkan di posisi sama apabila berdepan pasukan gergasi Asia, Korea Selatan dalam saingan Piala Asia pada Januari lalu dan dia berjaya membuktikan keupayaan menyekat kemaraan serangan pasukan itu.

Hanya 24 daripada 33 pemain dibawa ke Muscat, Oman bagi menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex.

Pasukan negara akan menentang Oman Jumaat ini sebelum bertemu sekali lagi di Bukit Jalil empat hari kemudian dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

Ketika ini, Malaysia menduduki tangga pertama Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1071039/daniel-boleh-ganti-matt-atau-junior
Pages: [1]
View full version: Daniel boleh ganti Matt atau Junior


ADVERTISEMENT