mattzzx Publish time 16-3-2024 04:10 PM

'You touch, you go!' jika laku gangguan seksual kepada murid

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/ghjk665566_1710575653.jpg
Fadhlina Sidek berucap pada Konvensyen Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Shah Alam: Kementerian Pendidikan memberi amaran bakal mengambil tindakan pecat kepada mana-mana guru atau kakitangan sekolah yang terbabit dalam gangguan seksual terhadap murid.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa komited dan berusaha memastikan sekolah menjadi tempat paling selamat kepada murid.

Menurutnya, terdapat peningkatan kes membabitkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak dan ianya membimbangkan.

"Saya ingin menyampaikan amaran hari ini, jika terdapat sebarang kes dalam institusi pendidikan, 'You touch, you go!'


"Kita kena sampaikan amaran itu supaya mereka faham bahawa kita serius untuk memastikan kes-kes (penderaan seksual) ini tidak akan berlaku di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual, di sini, hari ini.

Konvensyen berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu semasa sidang media, Fadhlina mengesahkan penambahan jumlah guru kaunseling di sekolah dari semasa ke semasa selaras inisiatif dan komitmen KPM.

"Bukan sahaja isu ini (gangguan seksual) tetapi isu lain juga termasuk kesihatan mental, isu disiplin lain yang memerlukan komitmen besar dari guru kaunseling yang terlatih.

"Tahun ini sahaja, kita menambah guru kaunseling untuk murid berkeperluan khas. Jadi, ini adalah inisiatif berterusan untuk menambah bilangan guru kaunseling.

"Ini kerana ada keperluan sangat tinggi kes-kes pelbagai termasuk kes seperti ini (jenayah seksual)," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1070716/you-touch-you-go-jika-laku-gangguan-seksual-kepada-murid
Pages: [1]
View full version: 'You touch, you go!' jika laku gangguan seksual kepada murid


ADVERTISEMENT