mattzzx Publish time 16-3-2024 02:03 PM

Rezeki pemandu teksi dan rider

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/aimanahta_1710566149.jpg
ANTARA rider yang berpeluang mengisi minyak secara percuma menerusi program Pemberian Petrol Percuma. FOTO Aiman Danial Mohd Hood Aktha

Kuala Lumpur: Seramai 200 pemandu e-hailing dan teksi serta 200 penghantar makanan berpeluang mengisi minyak secara percuma menerusi program Pemberian Petrol Percuma yang diadakan di sebuah stesen minyak di Setapak, di sini, hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Dan Muhibbah Kuala Lumpur Selangor (PPMKLS) yang juga penganjur program, Shaari Ismail berkata, ia adalah program ketiga tahun ini.

"Alhamdulillah, sempena Ramadan ini kita dapat buat satu program khas buat pemandu e-hailing, teksi dan 'rider'. Kita anggarkan sebanyak 400 pemandu menerima manfaat ini.

"Kita memilih golongan sasar ini kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan kurang berkemampuan apatah lagi, dalam kalangan pemandu teksi dan e-hailing ramai juga warga tua.



"Memandangkan pertubuhan kami adalah rakan strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), jadi mereka juga turut membantu dari segi kewangan. Dari situ, kami salurkan kepada golongan memerlukan menerusi penganjuran beberapa program termasuk pemberian petrol percuma ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, program lain yang bakal diadakan melalui PPMKLS dengan kerjasama MAIWP ialah iftar dan 'shopping' baju raya bersama anak yatim serta pemberian bakul makanan berupa barangan kering dan mentah.

Sementara itu, pemandu teksi dan e-hailing, Shamsuddin Mahsom, 63, berkata, ini kali pertama dia menyertai program sebegini.

"Saya datang hari ini selepas dimaklumkan oleh rakan. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dengan jumlah yang diberikan dapatlah bertahan dua hari. Terima kasih kepada penganjur," katanya.

Dia yang juga pesara tentera berkata, kerjaya baru ini sesuatu yang menyeronokkan.

"Selepas bersara sebagai tentera, saya menjadi pengawal keselamatan. Kemudian, menjadi pemandu e-hailing dan teksi ini baru dua tahun. Bagi saya, ia bukan mudah, tapi menyeronokkan.

"Alhamdulillah, pendapatan pun okay, tapi kena rajin. Macam saya, sehari boleh dapat RM200. Ramadan ini saya keluar selepas Subuh sehingga jam 5 petang. Kalau hari biasa sampai Maghrib saja," katanya.

Pemandu e-hailing Shah Rizal Shamsuddin, 39, berkata, program sebegini bukanlah asing buat dirinya.

"Saya selalu juga turut serta dalam program sebegini. Setiap kali dapat info atau kawan-kawan sampaikan, mesti saya akan pergi. Siapa nak bagi petrol percuma, sedikit sebanyak boleh 'cover' kos sehari dua.

"Program sebegini sangat bagus terutama buat pemandu macam kami. Bukan semua daripada kami orang senang," katanya.

Penghantar makanan, Nazleen Zulkifle, 41, berkata, dia berasa dihargai dan berharap lebih banyak program sama dibuat.

"Terima kasih kepada penganjur yang buat program ini. Saya berasa sangat dihargai. Kalau ada info memang akan pergi, dapat jugalah isi minyak motosikal penuh," katanya.

Ibu tunggal tiga anak itu berkata, dia sudah enam tahun menjadi penghantar makanan.

"Saya pilih kerjaya 'rider' ini pun sebab senang nak urus masa. Apa pun, semuanya kita yang kawal sendiri.

"Lagi satu, masa kita tidak terikat. Sambil hantar dan jemput anak dari sekolah, saya masih boleh bekerja. Lagi pula, mudah juga untuk saya sertai program anjuran sekolah selain boleh bercuti mengikut ketetapan sendiri," katanya.

Pada program Pemberian Petrol Percuma itu, pemandu turut mendapat kurma dan bakul makanan sumbangan stesen minyak.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1070643/rezeki-pemandu-teksi-dan-rider
Pages: [1]
View full version: Rezeki pemandu teksi dan rider


ADVERTISEMENT