mattzzx Publish time 16-3-2024 12:55 PM

Terpaksa beli walaupun harga naik

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/merungut_1710562494.jpg
PENIAGA ayam, Harun Awang, 61, mengakui berlakunya kenaikan harga ayam beberapa kali sejak sebelum puasa. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Ramai pengguna merungut disebabkan berlakunya kenaikan terhadap beberapa barangan keperluan harian seperti bawang kecil, cili padi dan ayam.

Suri rumah, Rosnah Shamuddin, 72, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain melainkan terpaksa membeli barangan keperluan ini walaupun ia dijual pada harga tinggi.

"Contohnya bawang kecil yang saya beli hari ini RM12 sekilogram, naik sebanyak RM2. Minggu lepas saya beli RM10 sekilogram.

"Mana yang terpaksa itu (untuk kegunaan setiap hari), kena beli. Kadang-kadang malas nak tengok harga, jadi saya beli juga," katanya ketika ditemui di Pasar Chow Kit hari ini.



Pekerja swasta, Hazwan Khairuddin, 32, pula menyatakan harga cili padi yang dibelinya hari ini meningkat berbanding minggu lalu.

"Cili padi minggu lepas saya beli RM12 sekilogram, tetapi minggu ini RM12.80.

"Yang saya risau menjelang dan semasa Aidilfitri nanti sebab kebiasaannya barang-barang keperluan ini akan naik begitu tinggi," katanya.

Disebabkan itu, dia yang tinggal di Danau Kota mencadangkan agar adanya pemantauan secara berterusan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Dengan kadar gaji tak naik tapi barang naik, jika barang asas ini tak dikawal, ia akan jadi satu beban kepada pengguna.

"Barang asas ini satu keperluan. Bila barang keperluan sudah jadi satu beban kepada hidup, itu yang membuatkan orang ramai susah," katanya.

Hazwan turut mencadangkan agar kerajaan menambah item barangan keperluan lain ke dalam kategori barang kawalan.

"Sekarang ini barang asas yang dikawal adalah seperti ayam, gula, tepung dan minyak. Tetapi di samping itu juga, ada barang keperluan lain yang perlu ditambah," katanya.

Suri rumah, Nur Aliya Fadzil,45, pula menyatakan berlakunya kenaikan harga ayam yang dibelinya hari ini.

"Hari ini ayam yang saya beli berharga RM10 sekilogram. Berbanding sebelum ini saya beli RM9.50.

"Saya juga risau bila nak raya nanti harga ayam berkemungkinan akan meningkat lagi," katanya,

Peniaga ayam, Harun Awang, 61, mengakui berlakunya kenaikan harga ayam beberapa kali sejak sebelum puasa.

"Harga ayam sebelum puasa naik beberapa kali. Sekarang ini kita jual pada harga RM10 sekilogram iaitu harga pertengahan. Pembeli pun tak terbeban, kita pun tak rugi sangat.

"Itu pun kita bukan dapat untung yang banyak. Keuntungan sekarang hanya RM1 saja," katanya.

Dia juga menjangkakan berkemungkinan harga ayam akan meningkat lagi menjelang Aidilfitri nanti.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1070612/terpaksa-beli-walaupun-harga-naik
Pages: [1]
View full version: Terpaksa beli walaupun harga naik


ADVERTISEMENT