Vellfire Publish time 15-3-2024 07:37 PM

Pertandingan buat video ACCCIS peluang terbaik promosi Sarawak

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240315/kch-ub150324-hs-acccis-p1.jpg

Ting (depan, tiga kanan) serta yang lain merakamkan kenangan selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan video pendek Pelancongan Sarawak 'The Heartbeat of Sarawak' hari ini.
KUCHING: Pertandingan membuat video anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Cina Sarawak (ACCCIS) menyediakan peluang terbaik untuk bakat tempatan mempromosi Sarawak.
Presiden ACCCIS Kong Chiong Ung berkata, ia bukan sahaja dapat mempamerkan bakat peserta, malah menjadi medium untuk mempamerkan keindahan Sarawak.
"Melalui lensa mereka, para peserta boleh mempromosikan Sarawak dengan bersungguh-sungguh dan menarik lebih ramai orang untuk menerokai keajaibannya.
"Memandangkan orang ramai pada masa ini terutamanya mendapatkan maklumat perjalanan melalui platform dalam talian, video pendek ini mempunyai potensi besar untuk disebarkan sekali gus membolehkan untuk promosi daya tarikan Sarawak dengan lebih meluas," katanya.
Kong berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah pertandingan video pendek Pelancongan Sarawak 'The Heartbeat of Sarawak' di Hab Inovasi KCGC Kuching, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa gembira mengenai peruntukan RM252 juta dalam bajet Sarawak 2024 untuk projek pelancongan, rancangan serta operasi, pemasaran dan promosi.
Tambahnya, ia penting untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh industri pelancongan tempatan, terutamanya mengenai kebolehcapaian pengangkutan dan sumber pelancongan yang tidak mencukupi.
"Dalam situasi penting ini, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta adalah penting untuk meningkatkan sumber pelancongan untuk pelawat.
"Pelbagai langkah seperti menambah baik infrastruktur pengangkutan, memperluaskan penerbangan terus dan sambungan antarabangsa, membangunkan tarikan pelancong baharu, menaik taraf kemudahan pelancongan, mewujudkan laluan khusus, mempelbagaikan tawaran pelancongan, menyediakan pelbagai aktiviti dan meningkatkan taraf perkhidmatan perlu dilaksanakan.
"Usaha ini bertujuan untuk memastikan pengalaman yang menyeronokkan untuk semua pelancong yang melawat Sarawak," ujarnya.
Mengenai peraduan itu, ia menerima sebanyak 45 penyertaan, dengan lapan telah disenarai pendek dan menerima hadiah.
Hadiah pertama dianugerahkan kepada Albert Tang Swee Chung dari Sibu yang menghasilkan video 'Nature's Pulse: The Enchanting Midin.'
Hadiah kedua dimenangi Phang Chan Chin dari Kuching yang menghasilkan video 'Heartbeat of Sarawak,' dan hadiah ketiga menjadi milik Ling Chin Sieng dari Sibu yang menghasilkan video 'The Heart of Borneo.'
Pemenang tempat pertama membawa pulang RM10,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM6,000 dan RM3,000. Sementara itu, lima pemenang hadiah saguhati masing-masing menerima RM500.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting, Naib Presiden ACCCIS Dato Tan Jit Kee, Setiausaha Agung Dato Jonathan Chai Voon Tok, Pengerusi Media Chinese International Limited Tiong Choon serta Pengerusi Persatuan Penggambaran dan Penerbitan Kuching Vivizona Lee Min Jie.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/15/pertandingan-buat-video-acccis-peluang-terbaik-promosi-sarawak
Pages: [1]
View full version: Pertandingan buat video ACCCIS peluang terbaik promosi Sarawak


ADVERTISEMENT