Vellfire Publish time 15-3-2024 07:35 PM

Wanita kempunan miliki pikap, rugi RM18,090 gara-gara iklan tidak wujud

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240315/logopolishiasanub.jpeg

MUKAH: Hasrat seorang wanita untuk memiliki sebuah pikap tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM18,090 akibat terperdaya dengan iklan jualan kereta tidak wujud di laman Facebook, baru-baru ini.
Ketua Polis Daeah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa, 25, yang merupakan seorang pegawai alam sekitar dari sebuah syarikat tempatan pada mulanya tertarik dengan sebuah iklan menjual kereta terpakai di Facebook dan menghubungi pemilik akaun tersebut.
"Mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Andy Lau' dan menyatakan minat untuk kereta jenis Mitsubishi Triton yang ditawarkan oleh suspek dengan harga RM28,900.
"Setelah bersetuju, suspek telah mengarahkan mangsa membuat bayaran untuk urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan dan insurans kenderaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selepas membuat bayaran itu, mangsa pula dihubungi seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Ryan' untuk urusan pembayaran kos pengantaran kenderaan.
Muhamad Rizal berkata, mangsa membuat bayaran keseluruhan lima kali melibatkan empat akaun bank atas nama individu berlainan keseluruhan berjumlah RM18,090 dari tempoh 19 sehingga 23 Februari lalu.
"Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila suspek masih lagi meminta bayaran untuk pelbagai tujuan sebelum membuat laporan polis pada 14 Mac dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan pembelian barang yang ditawarkan dalam talian serta orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sekiranya anda baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-wallet suspek.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/03/15/wanita-kempunan-miliki-pikap-rugi-rm18090-gara-gara-iklan-tidak-wujud
Pages: [1]
View full version: Wanita kempunan miliki pikap, rugi RM18,090 gara-gara iklan tidak wujud


ADVERTISEMENT