sfhzuraz Publish time 15-3-2024 02:08 PM

'Kami sambut Ramadan cara sederhana sebab saya sakit'

'Kami sambut Ramadan cara sederhana sebab saya sakit'


Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm285rahim_1710480914.jpg
HAJAR menunjukkan bahagian tulang leher suaminya, Rahim yang sakit sejak disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat dan anak mereka yang juga OKU. FOTO Zuliaty Zulkiffli



Alor Setar: "Tahun ini saya sambut Ramadan sederhana kerana hanya mengharapkan isteri untuk keluar bekerja bagi menyara keluarga selain banyak menghabiskan waktu ke hospital bagi mendapatkan rawatan." Begitu kata bekas nelayan Abdul Rahim Mat Akhir, 49, apabila tidak mampu bekerja kerana mengalami lemah badan selepas disahkan menghidap kanser paru-paru pada September tahun lalu.
Menurutnya, dia mula dikesan menghidap kanser selepas rasa sakit pada tulang leher, selain ada benjol sebesar telur burung puyuh di leher.
Katanya, kesakitan akan dirasai ketika hendak tidur pada waktu malam menyebabkan dia terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.
"Masa itu saya kerap letih ketika berjalan dan apabila pulang dari menangkap ikan, saya memang tidak berdaya untuk bergerak.
"Namun selepas doktor mengesahkan saya menghidap kanser paru-paru tahap empat, saya reda dan kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
"Setakat ini saya sudah menjalani tiga pusingan rawatan kemoterapi. Selepas kemoterapi pertama, benjol di leher beransur hilang, namun badan masih lemah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tepi Laut, di sini, hari ini.
Menurutnya, isterinya, Siti Hajar Ahmad Noordin, 46, banyak membantu menguruskannya setiap hari walaupun bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM35 sehari.
Katanya, mereka turut mempunyai dua orang anak orang kurang upaya (OKU) iaitu Muhammad Amir Asyraf, 14, yang juga OKU pembelajaran dan Nur Aqeela Amanda, 5, yang sumbing pada mulut manakala kaki kiri bengkok.
"Dua daripada empat anak kami yang berusia 18 serta 20 tahun masih belajar, manakala dua lagi anak tiri saya yang berusia 25 dan 24 tahun hasil perkahwinan isteri terdahulu, masing-masing tinggal berasingan.
"Dua minggu lagi, saya perlu menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk melihat perkembangan kesihatan saya," katanya.
Sementara itu, Siti Hajar berkata, dia sudah seminggu tidak bekerja disebabkan menguruskan suaminya menjalani pemeriksaan di hospital sekali gus menyebabkan pendapatan mereka terjejas.
Katanya, disebabkan itu dia sanggup melakukan pelbagai kerja termasuk mengambil upah menyiang ikan dengan upah sekitar RM20 sehari selain menggunting udang lipan dengan upah RM4 sekilogram.
"Kalau banyak ikan atau udang lipan disiang atau gunting, banyaklah upah yang dapat. Wang itulah digunakan untuk menyara keluarga selain kos rawatan suami untuk kemoterapi dan kos lain di hospita," katanya.
Menurutnya, rumah mereka banyak perlu diperbaiki, malah bilik air hanya ditutupi dengan zink selain bahagian dapur juga sudah rosak.
Katanya, bil elektrik dan air juga tertunggak sehingga mencecah lebih RM200 disebabkan tiada wang untuk membayarnya.
"Saya berharap suami sembuh kerana kasihan melihat keadaannya sekarang dengan keadaan badan yang lemah setiap kali selepas pulang menjalani rawatan," katanya.


Disiarkan pada: Mac 15, 2024 @ 1:35pm


'Kami sambut Ramadan cara sederhana sebab saya sakit' (hmetro.com.my)




Pages: [1]
View full version: 'Kami sambut Ramadan cara sederhana sebab saya sakit'


ADVERTISEMENT