mattzzx Publish time 14-3-2024 03:36 PM

KPDN tak tertipu helah dua lelaki Bangladesh

https://assets.bharian.com.my/images/articles/disela_1710400873.jpg
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan (tengah) dan pegawainya memeriksa stor tidak berlesen menyimpan diesel bersubsidi yang diserbu di Taman Perindustrian Machang Indah, Bukit Mertajam, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki Bangladesh mendakwa mereka pekerja sebuah motel di belakang stor haram menyimpan diesel bersubsidi yang diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Helah mereka yang berusia lingkungan 20-an itu bagaimanapun gagal memperdaya pihak berkuasa dan soal siasat kemudian mendapati kedua-duanya sebenarnya digajikan RM2,000 sebulan setiap seorang untuk menjaga stor di Taman Perindustrian Machang Indah itu.

Selain menjaga stor, tugas mereka juga termasuk mengumpul diesel bersubsidi yang dihantar ke situ untuk disimpan sebelum diedar ke destinasi sebelah utara dan kemudian ke sempadan, seterusnya diseludup ke negara jiran.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan, berkata pihaknya menyerbu premis itu kira-kira jam 7 pagi tadi dan menemukan diesel bersubsidi dipercayai untuk dihantar ke kawasan sempadan di Kedah sebelum diseludup ke Thailand.



"Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki Bangladesh berusia lingkungan 20-an yang ditugaskan menjaga stor ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Sebelum itu dua lelaki terbabit berpura-pura kononnya mereka pekerja motel di kawasan belakang stor berkenaan. Ketika serbuan, mereka didapati berlari ke bahagian belakang stor dan ada sebuah motel dekat situ.

"Dalam soal siasat, mereka mengaku bekerja di stor itu dengan upah RM2,000 sebulan. Difahamkan, mereka bekerja sejak dua bulan lalu mengumpul diesel yang dihantar ke situ dan menjaga stor," katanya kepada pemberita.

Jegan berkata, pihaknya menyita hampir 14,900 liter diesel disimpan dalam 25 unit tangki dalam stor berkenaan serta beberapa peralatan yang digunakan dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM55,350.

"Berdasarkan maklumat awal yang kita terima, diesel di sini mungkin mahu dihantar ke Kedah dan destinasi seterusnya mungkin dibawa ke sempadan Thailand. Diesel ini dikutip dari stesen minyak sekitar Pulau Pinang dan kemudian dikumpul di stor ini," katanya.

Katanya, sindiket penyelewengan diesel kerap berpindah randah, selalunya tidak pernah beroperasi di satu-satu tempat sehingga enam bulan.

"Paling kurang, (operasi) hanya tiga bulan. Mereka hanya beroperasi sementara sahaja di satu-satu tempat, kemudian cari tempat baharu. Sebab itu kita perlu bantuan masyarakat untuk salur maklumat," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/03/1223497/kpdn-tak-tertipu-helah-dua-lelaki-bangladesh
Pages: [1]
View full version: KPDN tak tertipu helah dua lelaki Bangladesh


ADVERTISEMENT