mattzzx Publish time 14-3-2024 10:22 AM

Dua gol Semenyo bantu Bournemouth bangkit benam Luton

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/SOCCER-ENGLAND-BOU-LUT_REPORT_1710377321.jpg
SEMENYO melompat tinggi ketika meraikan gol keempat untuk Bournemouth yang juga gol kedua peribadi, sekali gus menang 4-3 ke atas Luton. FOTO REUTERS

Bournemouth: Luton Town mensia-siakan kelebihan tiga gol apabila tewas 3-4 di Bournemouth, sekali gus terlepas peluang melepasi zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Semuanya nampak sempurna buat Luton pada malam penuh emosi apabila mendahului 3-0 sebelum rehat menerusi jaringan Tahith Chong, Chiedozie Ogbene dan Ross Barkley.

Kedudukan selesa itu bagi membolehkan Luton memintas Nottingham Forest dan menduduki tangga ke-17 EPL, tetapi yang dicemuh penyokong sendiri ketika rehat bangkit mengubah perlawanan.

Dominic Solanke pantas merapatkan jurang sebelum tuan rumah mengikat kedudukan 3-3 pada minit ke-65 menerusi jaringan Illia Zabarnyi dan Antoine Semenyo.



Luton mula merasai tekanan sebelum Semenyo menjaringkan gol kemenangan Bournemouth pada minit ke-83.

Perlawanan itu diadakan semula selepas dihentikan pada minit ke-59 pada Disember lalu apabila kapten Luton, Tom Lockyer rebah di padang akibat serangan jantung.

Lockyer kembali beraksi pagi tadi dan menerima tepukan gemuruh daripada penonton sebelum sepak mula apabila dia bertemu dan mengucapkan terima kasih kepada pegawai perubatan yang menyelamatkan nyawanya.

Sebelum sepak mula, tumpuan terarah kepada Lockyer apabila dia kembali semula ke stadium yang nyaris meragut nyawanya.

"Saya gembira kembali semula ke sini, masuk ke dalam terowong dan nampak pegawai paramedik yang menyelamatkan nyawa saya," kata Lockyer yang memakai peralatan defibrillator khas untuk mengawal rentak jantungnya.

"Saya terus mengenali mereka. Apa lagi yang boleh anda katakan selain terima kasih. Mereka adalah hero yang menyelamatkan nyawa saya. Saya agak emosi."

Keputusan perlawanan itu menyaksikan Luton kekal di tangga ke-18 liga dengan 21 mata daripada 28 perlawanan dan ketinggalan tiga mata di belakang Nottingham Forest.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1069838/dua-gol-semenyo-bantu-bournemouth-bangkit-benam-luton
Pages: [1]
View full version: Dua gol Semenyo bantu Bournemouth bangkit benam Luton


ADVERTISEMENT