mattzzx Publish time 12-3-2024 03:33 PM

Kelantan United kini dikenali KDN FC

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kdnfc222_1710227235.jpg
LOGO baharu KDN FC. FOTO KDN FC

Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) menamatkan teka teki berhubung nama baru kelab apabila mengumumkan nama Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC), hari ini.

Pengumuman itu dibuat secara rasmi menerusi satu hantaran video berdurasi satu minit di laman sosial KUFC kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Presidennya, Rozi Muhamad berkata, penjenamaan semula nama dan logo kelab adalah disebabkan keinginan pihak pengurusan untuk menyatukan semula penyokong dan pendukung bola sepak Kelantan di bawah satu panji serta bendera kebanggaan, Kelantan Darul Naim.

Katanya, logo dan warna tema kelab berubah daripada warna hijau putih kepada merah keemasan dengan gelaran pasukan kijang emas.



"Perubahan nama dan logo ini bukan untuk menggantikan pasukan utama Kelantan (The Red Warriors atau Kelantan FC).

"Tapi demi melihat sebuah kelab yang berdaya saing beraksi di hirarki tertinggi Liga Malaysia bersama kelab utama yang lain dengan entiti lebih dominan serta memiliki satu pengaruh yang bersifat menyeluruh," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Rozi berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan First Instance Body (FIB) yang membenarkan penggunaan penjenamaan semula kelab dan pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.

Katanya, curahan idea dan pendapat peminat dan penyokong bola sepak Kelantan adalah faktor utama penjenamaan ini.

Kelab juga turut mengumumkan slogan pasukan segheii kelate segheii (serang Kelantan serang) dalam loghat Kelantan menggantikan slogan kita sahut kita lawan untuk lebih dekat dengan penyokong kelab Pantai Timur itu.

Semakan di laman sosial pasukan turut mendapati video pengumuman itu sudah ditonton 4.9 ribu penonton dengan 72 perkongsian dan 136 komen serta 796 tanda suka dengan kebanyakkan peminta memberi reaksi positif.

Untuk rekod, KUFC sebelum ini menggunakan nama MPKB-BRI FC pada tahun 2016 digantikan dengan nama KUFC pada tahun 2019.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1069350/kelantan-united-kini-dikenali-kdn-fc
Pages: [1]
View full version: Kelantan United kini dikenali KDN FC


ADVERTISEMENT