mattzzx Publish time 12-3-2024 02:35 PM

Morales bukan 'ancaman' buat Lok

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/darren_lok_2_1710223377.jpg
Darren Lok

Kuala Lumpur: Darren Lok tidak memandang kehadiran penyerang naturalisasi, Romel Morales sebagai ancaman besar kepada dirinya untuk memegang status selaku ayam tambatan utama skuad Harimau Malaya.

Sebaliknya pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu menegaskan, kemunculan Morales dilihat sebagai satu persaingan sihat dalam kem negara, dengan masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.

Menurut pemain Sabah FC itu, kemampuan Morales meledak gol ketiga negara ketika menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia di Qatar tempoh hari membuktikan bahawa pesaingnya itu mempunyai kualiti dan ketajaman di depan gawang.

"Romel buktikan apa dia boleh lakukan ketika dia jaringkan gol di minit akhir bertemu Korea dan dia tidak perlukan banyak peluang untuk jaringkan gol.


"Saya yakin lebih banyak panggilan buatnya ke skuad kebangsaan, dia akan lebih faham cara permainan dan apa yang diinginkan dari dia kerana semua orang tahu kualitinya dan dia mempunyai masa depan yang cerah dengan pasukan kebangsaan," katanya.

Untuk rekod, Lok sudah membuat 33 penampilan bersama skuad Harimau Malaya sejak 2016 dan hanya mampu meledak enam gol.

Ditanya adakah dirinya terganggu dengan kritikan segelintir netizen di laman sosial tentang ketumpulan sentuhannya, Lok akui tidak gusar dengan kritikan itu.

Tegasnya, dia mahu peminat tidak hanya menganggap dirinya sebagai peledak semata-mata tetapi turut mampu menyumbang dengan mencipta gerakan untuk membuka peluang kepada rakan sepasukan mencetak jaringan.

"Saya tahu peranan saya dalam skuad kebangsaan adalah untuk berikan segala-galanya buat Malaysia bagi mendapatkan keputusan yang baik.

"Jika kita mendapat keputusan yang baik tidak kira siapa pun yang menjaringkan gol kerana bola sepak adalah permainan berpasukan.

"Saya mahu dilihat oleh penyokong sebagai pemain yang menyumbang kepada pasukan dalam pelbagai sudut dan bukan hanya menjadi penjaring gol," katanya.

Ketika ini, skuad bimbingan Kim Pan-gon sedang dalam rangka persiapan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman di Muscat pada 21 Mac sebelum menentang lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 26 Mac.

Malaysia akan mengharungi satu aksi pemanas badan yang dilangsungkan secara tertutup dengan bertemu Nepal, Jumaat ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1069313/morales-bukan-ancaman-buat-lok
Pages: [1]
View full version: Morales bukan 'ancaman' buat Lok


ADVERTISEMENT