mattzzx Publish time 12-3-2024 01:57 PM

Saya bukanlah 'Superstar'- Mickey

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/harimau_malaya_1710222218.jpg
Faisal Halim bersama skuad kebangsaan

Kuala Lumpur: "Saya bukan 'Superstar', saya bukan siapa-siapa".Itu kata bintang bola sepak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim yang sedia berkongsi pengalaman bersama pemain muda yang turut dipanggil menyertai kem latihan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac ini.

Faisal, 26, mengakui kelompok pemain muda daripada skuad bawah 23 (B-23) tahun negara turut memiliki potensi besar untuk menyerlah di pentas antarabangsa, namun perlu bersabar menanti peluang itu.

Namanya yang kini melonjak masyhur di benua Asia susulan kejayaan memenangi Anugerah Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 di Qatar Januari lalu, sedia berkongsi ilmu agar kehadiran pemain muda di saingan Piala Asia B-23 di Qatar bulan depan tampil lebih padu.

"Saya tak anggap ia satu tanggungjawab yang besar, tapi saya ada apa yang perlu dikongsi saya akan kongsi untuk pemain yang ingin tahu.



"Saya bukan 'Superstar', saya bukan siapa-siapa. Tapi saya ada sedikit pengalaman di pentas yang tinggi (Piala Asia), saya boleh kongsi yang mana saya mampu dan saya boleh bagi tahu apa yang saya tahu.

"Saya rasa pemain muda yang datang dekat kem kali ini semua bersemangat, semua berbakat, cuma kena bersabar tunggu peluang sampai," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.

Terdahulu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan secara rasmi jaringan memukau tonggak Faisal atau lebih mesra dipanggil 'Mickey' sebagai 'Goal Of The Tournament' Piala Asia 2023 menerusi undian penyokong.

Malah, gol yang dijaringkan ketika menentang Korea Selatan itu berjaya mengenepikan 132 gol lain sepanjang kejohanan di mana pemain kelahiran Pulau Pinang itu meraih 85 peratus undian untuk meninggalkan tujuh pesaing lain.

Peratusan itu jauh meninggalkan pencabar terdekat, Mousa Al Tamari dari Jordan yang sekadar menerima sembilan peratus undian sementara tempat ketiga menjadi milik pemain Korea Selatan, Son Heung Min dengan tiga peratus.

Gol yang disumbangkan Faisal dihasilkan ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir kumpulan, di mana dia bijak memperdaya pertahanan lawan sebelum melakukan sungkitan cantik menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon Woo untuk gol pertama negara.

Ujar Faisal lagi, dia mahu skuad negara merebut seberapa banyak mata apabila berdepan Oman di Muscat sebelum bertemu sekali lagi di Stadium Naisonal Bukit Jalil lima hari kemudian.

"Sudah tentu ini peluang terbaik kita untuk layak lebih awal sebab itu jurulatih mahu kita berlatih awal. Sekiranya kita ke Oman dapat mata dan kita balik ke Bukit Jalil dapat mata, saya rasa kita dah selamat untuk ke pusingan seterusnya.

"Kita perlu beri yang terbaik sekiranya hendak pilih laluan yang mudah kerana kita tidak mahu dua perlawanan terakhir jadi penentuan untuk layak kerana ia lebih sukar," katanya.

Ketika ini, Malaysia sedang memimpin carta Kumpulan D selepas memungut enam mata maksimum daripada dua aksi terdahulu, manakala Oman di tangga kedua dengan tiga mata selepas dua perlawanan.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1069307/saya-bukanlah-superstar-mickey
Pages: [1]
View full version: Saya bukanlah 'Superstar'- Mickey


ADVERTISEMENT