mattzzx Publish time 12-3-2024 01:31 PM

Konstabel polis dijemput ajal ketika perjalanan ke balai

https://assets.bharian.com.my/images/articles/simpati_1710221012.jpg
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad (dua dari kiri) di Hospital Seberang Jaya, bersama waris Konstabel Nur Hazim Abdul Hamid, 29, yang maut dalam kemalangan jalan raya. NSTP/FOTO IHSAN PDRM

GEORGETOWN: Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam nahas di Kilometer 140 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara berhampiran Juru Auto City di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata kejadian jam 11 malam itu menyebabkan Konstabel Nur Hazim Abdul Hamid, 29, meninggal dunia di lokasi.

Katanya, mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang dari kampung halaman di Kampung Pinang Seberang, Kamunting, Perak menuju ke tempat bertugas di Balai Polis Dato Keramat, di sini.

"Bagaimanapun, motosikal yang ditunggangnya dikatakan terbabas sendiri sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.



"Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kampung halamannya bagi dikebumikan selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Seberang Jaya," katanya hari ini.

Difahamkan anggota itu sudah hampir tiga tahun berkhidmat sebagai anggota tugas am di Balai Polis Dato Keramat.

Terdahulu, Mohamed Usuf melakukan lawatan kebajikan sebagai tanda keprihatinan pihak polis terhadap anggotanya selain memberi sokongan moral kepada ahli keluarga termasuk memastikan aspek kebajikan terus terpelihara.

"Saya mewakili seluruh Polis Pulau Pinang menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Nur Hazim," katanya.

Lawatan itu turut dihadiri Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris dan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan ZafriZolkapli.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/03/1222619/konstabel-polis-dijemput-ajal-ketika-perjalanan-ke-balai
Pages: [1]
View full version: Konstabel polis dijemput ajal ketika perjalanan ke balai


ADVERTISEMENT