sfhzuraz Publish time 11-3-2024 11:19 PM

SPRM, NACC banteras rasuah di sempadan

SPRM, NACC banteras rasuah di sempadan


Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 11, 2024 @ 10:17pmbhnews@bh.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/rasuah_1710166634.jpg
Ahmad Nizam (tengah) bersalaman dengan Ram Wasutanapinyo (dua dari kanan) selepas mesyuarat berkaitan jenayah rentas sempadan hari ini. NSTP/STR/ZULIATY ZULKIFFLI



BUKIT KAYU HITAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Anti Rasuah Thailand (NACC) bakal bekerjasama dalam usaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan antara dua negara berkaitan.
Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail, berkata jalinan kerjasama itu bagi mengekang jenayah rasuah yang berlaku di kawasan sempadan khususnya berkaitan penyeludupan.
Katanya, kerjasama antara Malaysia dan Thailand itu penting bagi penyaluran maklumat antara agensi penguat kuasa di sempadan.
"Pada mesyuarat bersama NACC Songkhla dan Jabatan Imigresen Malaysia ini, banyak perkara yang kita bincangkan terutama berkaitan jenayah sempadan membabitkan rasuah.
"Kerjasama ini sudah diadakan lama dan setiap tahun kita akan mengadakan mesyuarat untuk tingkatkan rangkaian kerjasama bersama Thailand," katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.
Ahmad Nizam berkata, keberkesanan kerjasama antara pihak berkuasa diharap dapat mengekang kegiatan rasuah di sempadan kedua-dua negara.
"Secara amnya, kita lihat kebarangkalian (rasuah) boleh berlaku, jadi kita cegah pada peringkat awal dan kita tidak boleh bekerja bersendirian dalam usaha ini.
"Kita turut menyediakan ganjaran kepada pemberi maklumat sama ada masyarakat atau penjawat awam supaya kita dapat mencegah perkara ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah NACC Songkhla, Ram Wasutanapinyo berkata, kerjasama kedua-dua negara mampu mencegah jenayah rasuah di sempadan.
"Rasuah kini menjadi fokus utama NACC Songkhla terutama membabitkan penyeludupan dan kita berharap masalah ini dapat berkurang selepas ini.
"Ini kerana pintu masuk baharu ke Thailand akan dibuka tahun depan dan Malaysia dijangka membuka pintu masuk baharu pada 2026, jadi kita memerlukan lebih banyak maklumat untuk memastikan jenayah rasuah dapat dicegah," katanya.
SPRM, NACC banteras rasuah di sempadan (bharian.com.my)





Pages: [1]
View full version: SPRM, NACC banteras rasuah di sempadan


ADVERTISEMENT