mattzzx Publish time 11-3-2024 06:08 PM

Pakai gelang, cincin kesalahan paling banyak dilakukan peniaga bazar tahun lalu

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/03/WhatsApp-Image-2024-03-11-at-4.12.59-PM.jpeg
Zaini (tengah) membantu penyediaan untuk memasak bubur lambuk pada Program CSR Bubur Lambuk Semarak Ramadan 2024 di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini. -Foto ROSMIZAN RESDI

KOTA BHARU – Pemakaian aksesori seperti gelang dan cincin dilaporkan menjadi kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh peniaga bazar Ramadan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kesalahan itu bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurutnya, selain itu, pemakaian tidak tepat turut menjadi kesalahan yang menyebabkan peniaga makanan berdepan tindakan undang-undang.

“JKNK telah mengeluarkan sebanyak 216 notis kepada pengendali makanan di bazar Ramadan di atas pelbagai kesalahan pada tahun lalu. Pengendali makanan di bazar Ramadan kebiasaannya melakukan kesalahan seperti tidak memakai apron, kasut dan penggunaan aksesori.

“Selain itu, kita turut memantau kebersihan premis. Sebanyak 3,565 premis telah diperiksa pada tahun lalu dan tahap kebersihannya mencecah 96.2 peratus,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Korporat (CSR) Bubur Lambuk Semarak Ramadan 2024 di sebuah hotel di sini hari ini.

Zaini memberitahu, sebanyak 46 pasukan telah diwujudkan bagi menjalankan penguatkuasaan di bazar-bazar Ramadan di seluruh Kelantan melibatkan 180 penolong pegawai kesihatan persekitaran dan pembantu kesihatan awam.

Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 69 tapak bazar Ramadan di seluruh Kelantan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun ini.

“Kesemua bazar Ramadan itu melibatkan 3,824 petak perniagaan. JKNK akan memastikan tanggungjawab peniaga untuk menjual makanan yang selamat dan bersih kepada pelanggan.

“Selain itu, kita juga akan melakukan pemantauan agar tidak berlaku pencemaran makanan sekali gus mengelak berlakunya kes keracunan makanan sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/03/11/pakai-gelang-cincin-kesalahan-paling-banyak-dilakukan-peniaga-bazar-tahun-lalu/
Pages: [1]
View full version: Pakai gelang, cincin kesalahan paling banyak dilakukan peniaga bazar tahun lalu


ADVERTISEMENT