mattzzx Publish time 11-3-2024 05:20 PM

'Cemerlang di Piala Asia 2023 bukan jaminan kesebelasan utama'

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/wilkins11_1710147144.jpg
STUART (kanan) gigih menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam, menjelang perlawanan timbal balik menentang Oman. FOTO FB FAM

Kuala Lumpur: Tonggak tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin mengakui aksi cemerlang dipamerkan sepanjang kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, bukanlah jaminan untuknya dipilih membarisi kesebelasan utama.

Stuart berkata, dia bersama rakan sepasukannya akan berusaha keras untuk mengekalkan prestasi supaya dapat membarisi kesebelasan utama bagi menghadapi Oman dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 21 dan 26 Mac.

"Gembira kembali ke kem kebangsaan dan saya harap kami dapat kekalkan prestasi di Piala Asia dan meningkatkan kecergasan untuk dibawa pada dua perlawanan menentang Oman ini.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan barisan pemain yang dipanggil kali ini dan kami semua akan bersaing hebat kerana tidak ada jaminan untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.



"Ia sangat bagus kerana kami akan mendorong satu sama lain dalam latihan, sekali gus menjadikan kami bersaing untuk memastikan semua berada pada tahap terbaik," katanya ketika ditemui di kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Stuart yang memiliki 19 penampilan bersama skuad kebangsaan meletakkan sasaran untuk meraih keputusan positif apabila berdepan Oman yang kini menduduki ranking ke-80 dunia.

Jelasnya, meraih mata dalam dua perlawanan itu akan membuka peluang lebih luas kepada Malaysia mara ke pusingan seterusnya dalam kempen kelayakan kali ini.

"Bagus sekiranya kita mengambil kesempatan atas kedudukan dalam kumpulan ketika ini dan berharap boleh membawa keputusan baik dalam dua perlawanan ini untuk layak ke peringkat seterusnya lebih awal.

"Namun kita perlu berhati-hati dengan Oman kerana mereka adalah lawan sukar, tetapi pada masa sama, kami perlu fokus kepada persiapan pasukan dan mendengar arahan daripada jurulatih," katanya.

Harimau Malaya memimpin Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan (1-0) dalam dua aksi awal sebelum ini.

Manakala Oman yang menundukkan Taiwan sebelum tewas kepada Kyrgyzstan berada di tangga kedua dengan tiga mata.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1069076/cemerlang-di-piala-asia-2023-bukan-jaminan-kesebelasan-utama
Pages: [1]
View full version: 'Cemerlang di Piala Asia 2023 bukan jaminan kesebelasan utama'


ADVERTISEMENT