mattzzx Publish time 11-3-2024 04:33 PM

Kastam rampas minuman keras, rokok RM13.4 juta

https://assets.bharian.com.my/images/articles/RAMPASS_1710145180.jpg
Mohammad Hafiz (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian rokok putih dan minuman keras dianggarkan bernilai RM13.4 juta yang dirampas kastam. NSTP/AZRUL EDHAM

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas rokok putih dan minuman keras dianggarkan bernilai RM13.4 juta selepas melakukan dua serbuan di Klang, Selangor, masing-masing pada 26 Februari dan 1 Mac lalu.

Pengarahnya, Mohammad Hafiz Ishak, berkata seramai lima lelaki iaitu dua warga asing dan tiga warga tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dengan dua sindiket berkenaan.

"Bagi kes pertama, sepasukan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan menahan tiga kontena di Pelabuhan Klang Utara, Klang, kira-kira jam 12 tengah hari, pada 26 Mac lalu.

"Tiga kontena bersama dagangan disita dan hasil pemeriksaan, kita menjumpai 97,200 tin serta 30,392 botol minuman keras pelbagai jenama dan saiz," katanya pada sidang media, hari ini.



Beliau berkata, semua minuman keras itu melanggar peraturan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, dibaca bersama Peraturan 30 (1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991.

"Jumlah nilai keseluruhan minuman keras disita termasuk cukai dianggarkan sebanyak RM3.2 juta. Minuman keras ini diseludup dan dipercayai dibawa masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan yang sah bagi tujuan penjualan di pasaran tempatan dengan harga lebih murah.

"Dua kontena dari China dan satu dari Dubai dipercayai akan dihantar ke negara jiran. Dua lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai ejen dan pengimport ditahan," katanya.

Beliau berkata, bagi kes kedua pada kira-kira jam 4 petang 1 Mac lalu, pihaknya menahan lima kontena dan dua lori di sebuah premis sekitar Pandamaran, Pelabuhan Klang, Selangor kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas semua kontena dan lori menemui 591,000 paket rokok putih pelbagai jenama, 51,936 tin dan 5,576 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM10.2 juta dipercayai cuba dilarikan cukai.

"Semua dagangan itu tidak mempunyai label cukai dan disyaki barangan larangan import yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Mohammad Hafiz berkata, rokok dan minuman keras itu untuk pasaran tempatan yang dijual pada harga lebih murah.

Beliau berkata, pihaknya menahan seorang pemilik premis berusia 50-an warga tempatan bersama dua pekerja warga asing dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai perlu menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-88 atau http://aduan.customs.gov.my atau Pejabat Kastam terdekat dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1222254/kastam-rampas-minuman-keras-rokok-rm134-juta
Pages: [1]
View full version: Kastam rampas minuman keras, rokok RM13.4 juta


ADVERTISEMENT