mattzzx Publish time 11-3-2024 10:28 AM

Mereka bermaharajalela!

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/SESH_1710115208.jpg
RUMAH dihuni etnik Rohingya di Kampung Kangkar Tebrau.

Johor Bahru: Kehadiran kelompok besar etnik Rohingya di Kampung Kangkar Tebrau di sini, menimbulkan kegusaran dan merimaskan lebih 200 keluarga penduduk asal kampung terbabit yang terletak di tengah bandaraya.

Pesara, Abd Razak Tarmidi, 63 berkata, kehadiran Rohingya ini dikesan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jumlah mereka semakin bertambah dengan dianggarkan ada lebih 1,000 orang menetap di kampung terbabit.

Katanya, yang menjadi kebimbangan adalah sikap etnik terbabit yang pengotor dan gemar membiarkan anak kecil mereka bermain di jalanan tanpa sebarang pengawasan.

"Kalau datang kampung kami di bahagian depan memang tidak nampak golongan ini, mereka duduk di rumah taman yang terletak di bahagian belakang kampung iaitu di jalan Nyior satu, Nyior dua, Nyior tiga dan Nyior enam.



"Kebanyakan mereka ini menyewa rumah yang tidak dihuni lagi kerana pemilik berpindah ekoran kawasan ini kerap banjir kilat.

"Dalam satu rumah mereka bukan tinggal satu keluarga, tetapi ada hingga empat keluarga dalam satu rumah.

"Setiap tahun saya buat bancian penduduk untuk menyalurkan bantuan pada Ramadan dan Syawal, jadi saya tahu bilangan mereka semakin ramai dan bertambah setiap tahun," katanya ketika ditemui di Kampung Kangkar Tebrau, di sini.

Penduduk, Mohd Sabani Amir, 42 berkata, masalah kebersihan menjadi isu utama kerana kebanyakan etnik di kawasan ini mengumpul besi buruk sebagai pekerjaan mereka.

Katanya, sisa daripada besi buruk yang dijual akan dilonggok di beberapa tempat, termasuk di tepi rumah dan berisiko menjadi sarang pembiakan nyamuk.

"Ada anak kecil mereka yang buang air bersepah-sepah tepi jalan, kita marah tapi mereka buat lagi.

"Kadang-kadang depan mata mereka buang sampah atau main barang terpakai di tepi jalan, kita suruh dia ambil semula dan buang dalam tong sampah.

"Etnik mereka ini bila sudah makin ramai, mereka besar kepala, ada juga antara mereka yang buang sampah di Sungai Tebrau.

"Faktor keselamatan pula, anak kecil mereka ini ramai yang dibiar bermain tanpa pengawasan terutama pada waktu petang dan malam.

"Jumaat lalu, berlaku satu kemalangan motosikal dengan seorang kanak-kanak Rohingya di sini, semestinya yang disalahkan penunggang motosikal, sedangkan anak mereka 'bersepah-sepah' di jalan.

"Sebelum PKP, kawasan ini menjadi penempatan Bangladesh dan Nepal, kita tidak kisah sebab pekerja Bangladesh dan Nepal ini tidak mengganggu dan cukup tempoh permit kerja tamat mereka keluar.

"Tetapi Rohingya ini lain, makin lama makin ramai, aduan sudah banyak kali dibuat Ketua Kampung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), PDRM, Jabatan Imigresen dan wakil rakyat tetapi tiada tindakan," katanya kesal.

Sementara itu, juruteknik, Mohd Saifuddin Mohd Nasir, 37 menyifatkan penempatan Rohingya di Kampung Kangkar Tebrau seolah-olah 'kebal' dan dilindungi.

Katanya, menjadi persoalan bagaimana etnik Rohingya di sini boleh mempunyai kereta mewah seperti Honda, Toyota Hilux, Ford dan BMW sedangkan mereka datang sebagai pelarian.

"Mereka (Rohingya) di sini seolah-olah sudah kebal, ada sebahagian mereka tunjuk kad Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), tetapi kita tak tahu sama ada ia sah atau palsu," katanya.

https://www.hmetro.com.my/utama/2024/03/1068882/mereka-bermaharajalela
Pages: [1]
View full version: Mereka bermaharajalela!


ADVERTISEMENT