mattzzx Publish time 10-3-2024 04:40 PM

Flat Tasek 64 Bandar Seri Alam lokasi panas tibi

https://assets.bharian.com.my/images/articles/saring_1710058626.jpg
Penduduk Flat Tasek 64 membuat pemeriksaan kesihatan pada majlis karnival kesihatan anjuran Klinik Kesihatan Masai semalam. NSTP/ Mary Victoria Dass

PASIR GUDANG: Flat Tasek 64, Bandar Seri Alam di sini yang dihuni kira-kira 10,000 penduduk dikenal pasti antara lokasi panas penyakit batuk kering atau tibi di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung, berkata pada tahun lalu, sebanyak lapan kes tibi dicatat dengan satu kematian membabitkan penduduk di flat itu.

Beliau berkata, flat berkenaan dihuni penduduk tempatan termasuk komuniti Sabah dan Sarawak yang berhijrah ke negeri ini, selain warga asing.

Katanya, kegagalan sesetengah penduduk yang tidak membuat saringan lebih awal mengakibatkan penularan penyakit itu terutama membabitkan ahli keluarga masing-masing.



"Kes tibi menular jika mereka tidak menjalani saringan atau gagal mendapatkan rawatan pada masa tepat dan sesuai.

"Flat ini antara yang memiliki penduduk ramai dengan 22 blok di sini. Saya berharap kesedaran berkaitan penyakit tibi ini dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya selepas Karnival Kesihatan anjuran Unit Tibi Klinik Kesihatan Masai di Dewan Tasek 64 di sini, petang semalam.

Hadir sama, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pegawai Kesihatan Daerah Johor Bahru, Dr Haidar Rizal Toha.

Antara pengisian karnival termasuk gotong-royong, zumba, ceramah kesihatan, perkongsian bekas penyakit tibi, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan mewarna.

Cai Tung berkata, inisiatif penganjuran karnival itu memberi peluang penduduk flat terbabit membuat saringan kesihatan termasuk imbasan x dengan percuma.

"Usaha kakitangan Klinik Kesihatan Masai turun padang menjalankan karnival sehari itu diharap dapat mempertingkatkan kesedaran ramai berkaitan tibi dan bertindak lebih awal sebelum terlewat," katanya.

Sementara itu, Dr Haidar berkata, batuk berpanjangan, demam, berpeluh, kurang selera makan dan susut berat badan antara simptom penyakit berkenaan.

"Mereka yang ada simptom ini perlu menjalani pemeriksaan kesihatan segera bagi memastikan adakah ia tibi, sekali gus boleh membuat langkah pencegahan awal daripada merebak," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/03/1221879/flat-tasek-64-bandar-seri-alam-lokasi-panas-tibi
Pages: [1]
View full version: Flat Tasek 64 Bandar Seri Alam lokasi panas tibi


ADVERTISEMENT