mattzzx Publish time 10-3-2024 03:42 PM

Pasukan Oman bagaikan 'skuad berhantu'- Brendan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/brenden10_1710051426.jpg
TONGGAK Harimau Malaya, Brendan Gan. -FOTO FAM

Kuala Lumpur: Tonggak Harimau Malaya, Brendan Gan menganggap pasukan Oman sebagai 'skuad berhantu' berikutan maklumat membabitkan taktikal dan keupayaan barisan pemainnya sehingga kini tidak banyak diketahui.

Menurut bekas pemain Selangor FC itu, pertukaran ketua jurulatih Oman yang kini dibimbing bekas jurulatih pasukan kebangsaan Republik Czech, Jaroslav Silhavy menyebabkan pasukan itu bakal tampil dengan corak permainan berbeza selain keupayaan mereka juga berubah.

Brendan berkata, ketika ini barisan pemain Harimau Malaya perlu lebih bersedia dengan taktikal mengejut Oman yang sudah pastinya mahu bangkit selepas mengharungi perlawanan mengecewakan di kejohanan Piala Asia di Qatar, awal Januari lalu.

"Beliau tentunya akan membawakan taktikal baharu dan mengubah apa juga sistem yang mereka ada sebelum ini, itu akan menjadi perkara paling sukar untuk kami mengetahui bagaimana cara mereka akan bermain.



"Bagaimanapun kita akan bertindak balas atas apa juga mereka akan lakukan dan tumpukan kepada apa yang kami boleh lakukan dan apa yang boleh diperbaiki.

"Kami juga perlu lihat semula dan kenal pasti apa kesilapan yang sudah dilakukan di Piala Asia. Saya fikir rakan-rakan bersedia untuk tunjukkan apa yang boleh kami lakukan dan tidak mahu mensia-siakan kedudukan kami sekarang," katanya kepada media selepas sesi latihan di Wisma FAM, semalam.

Selain itu, Brendan berkata, status kelab mana yang akan disertai pemain pada musim ini masih lagi menjadi tanda tanya.

Katanya, fokus utamanya ketika ini adalah terhadap tugasan bersama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 22 dan 26 Mac ini.

"Pada masa ini saya masih belum memuktamadkan keputusan mengenai kelab yang akan disertai. Saya hanya mahu memberi fokus kepada skuad kebangsaan.

"Harap semuanya berjalan lancar dan menentukan mengenai masa depan. Pada saat ini saya gembira berada di sini (kem latihan Harimau Malaya) dan mahu melakukan yang terbaik untuk negara.

"Terdapat beberapa spekulasi dan khabar angin di luar sana, namun ketika ini saya belum buat keputusan muktamad," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1068677/pasukan-oman-bagaikan-skuad-berhantu-brendan
Pages: [1]
View full version: Pasukan Oman bagaikan 'skuad berhantu'- Brendan


ADVERTISEMENT