mattzzx Publish time 10-3-2024 03:36 PM

Bakar lemang sambut ketibaan Ramadan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/lemangaknmn1_1710049848.jpg
SEBAHAGIAN penduduk kampung membakar lemang sempena menyambut kehadiran Ramadan di Kampung Air Kuning, Johol. FOTO Azrul Edham

Kuala Pilah: Penduduk Kampung Air Kuning, di sini, meneruskan tradisi masyarakat Negeri Sembilan dalam menyambut kehadiran Ramadan dengan membakar 200 lemang dan memasak 40 kilogram daging, malam tadi.

Ia diusahakan golongan muda kampung itu bermula daripada mengumpul dana, mencari buluh, memerah santan sehinggalah mengacau rendang dan membakar lemang sebelum menjamu penduduk.

Khairul Hidayat Jaamat, 47, yang kini menetap di Sungai Buloh, Selangor berkata, dia mengambil kesempatan membawa anak dan isteri pulang ke kampung selepas mendengar penduduk mengadakan gotong-royong sempena ketibaan Ramadan.

"Saya rasa negeri lain tiada tradisi ini, hanya di Negeri Sembilan. Kami menyambut kedatangan Ramadan dengan mengadakan mantai atau memasak lemang sama ada di rumah dengan ahli keluarga atau secara gotong-royong.



"Pada kali ini saya dapat tahu ia dianjurkan anak muda yang menetap dan bekerja di kampung. Jadi saya amat bangga apabila mereka boleh menyumbang kepada masyarakat setempat," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kepis Ulu S Afendi Baharuddin berkata, pihaknya sentiasa menganjurkan program atau aktiviti yang membabitkan anak muda.

"Memandangkan kini kita sedang menunggu ketibaan Ramadan dan sudah menjadi tradisi masyarakat di sini, kami menyediakan lemang, rendang, masak lemak cili api telur itik dengan pucuk ubi dan sup tulang.

"Seramai 17 anak muda mengumpulkan modal sebanyak RM100 seorang. Mereka membeli bahan mentah, mencari kayu api dan buluh dan memasak rendang serta lemang dengan bantuan penduduk kampung.

"Meskipun 17 orang terbabit secara langsung, namun rakan mereka yang lain datang membantu. Malah ada yang pulang dari daerah dan negeri lain semata-mata mahu merasai sambutan ini," katanya.

Menurutnya, usaha anak muda itu wajar dipuji kerana ia bukan sahaja meneruskan tradisi orang dahulu, malah merapatkan jurang antara golongan tua dan muda.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1068669/bakar-lemang-sambut-ketibaan-ramadan
Pages: [1]
View full version: Bakar lemang sambut ketibaan Ramadan


ADVERTISEMENT