mattzzx Publish time 10-3-2024 11:45 AM

Polis semak, teliti CCTV di lokasi bayi baru lahir maut dicampak

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2024-03-09_at_19.07.22_1710040721.jpg
POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan PDRM

Kuala Lumpur: Polis menyemak dan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bayi lelaki baru lahir ditemukan maut selepas dipercayai dicampak di sebuah kondominium di Sri Petaling di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Sehingga kini, belum ada sebarang tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek yang terbabit sedang giat dijalankan.

"Proses bedah siasat terhadap mayat bayi berkenaan akan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira jam 2 petang ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.



Ku Mashariman berkata, pihaknya meneliti segala kemungkinan dan melakukan siasatan menyeluruh dalam kes berkenaan.

"Ini memandangkan ada unit kediaman di kondominium terbabit yang dijadikan sebagai Airbnb.

"Semakan CCTV di sekitar lokasi kejadian masih berjalan dan belum selesai memandangkan banyak sudut rakaman yang perlu diteliti," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan bayi lelaki masih bertali pusat ditemukan maut di sebuah kondominium di Sri Petaling selepas dipercayai dicampak dari salah satu premis kediaman.

Ku Mashariman dipetik berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 2.30 petang dengan mangsa ditemui dalam keadaan sebahagian daripada kepalanya pecah.

Katanya, bayi berkenaan dipercayai dicampak atau dibuang dari kedudukan tinggi dan mengakibatkan sebahagian kepalanya pecah.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1068623/polis-semak-teliti-cctv-di-lokasi-bayi-baru-lahir-maut-dicampak
Pages: [1]
View full version: Polis semak, teliti CCTV di lokasi bayi baru lahir maut dicampak


ADVERTISEMENT