mattzzx Publish time 10-3-2024 11:24 AM

Arsenal lonjak kedudukan ke puncak liga

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/FBL-ENG-PR-ARSENAL-BRENTFORD_1710030189.jpg
HAVERTZ meraikan kejayaan meledak gol buat Arsenal. -FOTO AFP

London: Arsenal melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris apabila Kai Havertz menebus kesilapan Aaron Ramsdale menerusi gol pada lewat perlawanan untuk memastikan kemenangan 2-1 menentang Brentford.

Skuad kendalian Mikel Arteta seakan terpaksa akur dengan keputusan seri apabila penjaga gol Gunners, Ramsdale menghadiahkan jaringan penyamaan untuk Yoane Wissa.

Declan Rice meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-19, tetapi Ramsdale menunggu terlalu lama untuk mengeluarkan bola di akhir babak pertama dan Wissa berjaya menampan bola ke dalam gawang.

Havertz memastikan Arsenal tidak terlepas peluang untuk memintas pendahulu, Liverpool dengan tandukan padu empat minit sebelum tamat aksi di Stadium Emirates.



Kemenangan liga kelapan berturut-turut itu melonjak Arsenal ke tangga teratas, satu mata di depan skuad kendalian Jurgen Klopp.

Arsenal akan kekal di puncak Liga Perdana Inggeris menerusi kelebihan perbezaan gol jika Liverpool dan Manchester City seri dalam pertembungan di Anfield malam ini.

"Esok adalah hari yang baik untuk menonton perlawanan bola sepak yang hebat. Ia tidak terletak di tangan saya.

"Menyeronokkan dapat menjadi sebahagian daripada liga ini dan sebahagian daripada sesuatu yang istimewa yang kami cuba capai," kata Arteta.

Gol kesembilan Havertz sejak berpindah dari Chelsea membuktikan kesungguhan Arsenal untuk menebus kekecewaan musim lalu.

Arsenal mendahului liga dengan kelebihan lapan mata pada satu ketika sebelum dipintas Man City pada saat akhir.

Awal pagi Rabu ini, Arsenal akan cuba mengatasi defisit 1-0 menentang Porto dalam aksi timbal balik 16 terakhir Liga Juara-Juara, manakala perlawanan Liga Perdana Inggeris seterusnya adalah di Manchester City pada 31 Mac.

Selepas kem latihan di Dubai pada Januari, Arsenal berjaya meledak 33 gol dan hanya dibolosi empat kali dalam deretan kemenangan dirakam mereka.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1068588/arsenal-lonjak-kedudukan-ke-puncak-liga
Pages: [1]
View full version: Arsenal lonjak kedudukan ke puncak liga


ADVERTISEMENT