mattzzx Publish time 9-3-2024 03:02 PM

Tiada lagi premis judi fizikal di Perlis

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/03/kedai-judi-premis-judi-perlis.jpeg
Premis judi yang terletak di Padang Besar menghentikan operasi pada 6 Mac lalu.

KANGAR – Penutupan premis judi terakhir pada 6 Mac lalu merealisasikan agenda Perlis iaitu sifar kedai judi seperti dihasratkan kepimpinan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, sebelum ini terdapat enam premis judi beroperasi di negeri ini dengan empat ditutup tahun lalu dan yang kelima pada 31 Januari lalu.

“Kerajaan negeri amat sedar aktiviti perjudian membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Langkah menghentikan lesen premis judi ini diambil bagi memastikan rakyat pelbagai agama serta kaum di negeri ini hidup selamat dan sejahtera,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, berhubung perjudian haram, kerajaan negeri akan terus bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti itu.

“Rakyat pelbagai lapisan di negeri ini turut disarankan bersama-sama menggalas tanggungjawab menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perjudian haram agar langkah lebih holistik dan berkesan boleh diambil,” ujarnya.

Tambahnya, melalui usaha itu diharapkan Perlis mendapat limpahan barakah dan rezeki daripada Allah yang akan membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat negeri ini.

Premis terakhir yang ditutup itu terletak di kawasan Padang Besar turut mengeluarkan notis tamat lesen perniagaan pada 6 Mac lalu untuk makluman pelanggan. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/03/09/tiada-lagi-premis-judi-fizikal-di-perlis/
Pages: [1]
View full version: Tiada lagi premis judi fizikal di Perlis


ADVERTISEMENT