mattzzx Publish time 9-3-2024 02:30 PM

250 wanita panjat gunung serentak!

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/gungasain1_1709965451.jpg
SERAMAI 250 wanita membuktikan mereka juga mampu melakukan aktiviti lasak apabila berjaya menawan Gunung Angsi setinggi 825 meter sempena sambutan Hari Wanita Sedunia. FOTO Azrul Edham

Kuala Pilah: Tawan Gunung Angsi setinggi 825 meter secara beramai-ramai sempena sambutan Hari Wanita Sedunia. Itu antara kegigihan ditunjukkan 250 wanita berusia seawal 20-an hingga lewat 50-an semalam.

Penyertaan mereka sekali gus membuktikan golongan wanita juga mampu melakukan aktiviti lasak, malah duduk sebaris dengan golongan lelaki dalam aktiviti pendakian.

Guru swasta, Nor Azmaniza Mohamed, 37, yang kali pertama mendaki gunung berkata, dia sememangnya meminati aktiviti pendakian sejak kecil, namun masih belum berpeluang berbuat demikian.

"Setakat ini saya hanya mendaki bukit saja. Jadi apabila dengar Persatuan Malim Gunung Perhutanan Negeri Sembilan (PMGPNS) membuka pendaftaran untuk mendaki Gunung Angsi, saya mengajak rakan untuk turut serta.


"Saya tak sangka pula ramai wanita menyertainya, termasuk luar dari luar Negeri Sembilan. Jadi saya cabar diri saya bagi membuktikan kaum hawa juga mampu melakukan aktiviti lasak seperti lelaki," katanya.

Ahli Undangan Dewan Negeri (Adun) Datuk Bakri Sawir merasmikan acara berkenaan dengan menyerahkan pokok untuk ditanam di puncak Angsi.

Bagi Datin Noorani Hussin, 59, pula, usia bukan penghalang baginya apabila sudah 78 kali menawan puncak Gunung Angsi yang mempunyai trek sepanjang 4.5 kilometer itu.

Katanya, dia mula menceburkan diri dalam aktiviti tersebut sejak tahun 2005 dan mula serius pada 2016.

"Saya lihat selepas pandemik Covid-19, semakin ramai golongan wanita yang menjadikan mendaki sebagai hobi atau aktiviti sukan pilihan dan rasanya hampir 80 peratus pendaki adalah wanita.

"Saya sendiri sudah menawan banyak puncak termasuk Gunung Fuji, Anapurna Base Camp (ABC) dan gunung Luzon, Filipina termasuk Gunung Angsi ini sendiri.

"Memang kekuatan fizikal penting untuk mendaki, tetapi kekuatan mental yang tidak mudah putus asa dan berusaha untuk sampai ke puncak menjadi kunci kepada wanita untuk bersaing sama tinggi dengan lelaki," katanya.

Sementara itu, Setiausaha program, Hazlinda Isa, 49, berkata, pihaknya tidak menyangka acara berkenaan mendapat penyertaan ramai dari pelbagai negeri.

"Kami membuka pendaftaran selama sebulan, namun terpaksa ditutup lebih awal kerana penyertaan sudah melebihi had.

"Dapat dilihat sekarang ramai golongan wanita minat mendaki, malah ada ada antara mereka yang sudah berusia terdiri daripada pesara suri rumah tangga dan pekerja sambilan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1068368/250-wanita-panjat-gunung-serentak
Pages: [1]
View full version: 250 wanita panjat gunung serentak!


ADVERTISEMENT