mattzzx Publish time 9-3-2024 11:25 AM

Nenek 3 cucu jadi kapten bas

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/09hm13znenek_1709938863.jpg
NOR Shuhaini sudah berkhidmat dengan Rapid Penang sejak sembilan tahun lalu.

Georgetown: Faktor usia tidak menjadi penghalang kepada nenek tiga cucu Nor Shuhaini Md Yusof, 52, untuk menceburi bidang didominasi oleh kaum lelaki iaitu sebagai kapten bas.

Nor Shuhaini yang merupakan ibu kepada lima orang anak dan nenek kepada tiga orang cucu sudah berkhidmat bersama bas Rapid Penang selama sembilan tahun untuk menyara keluarga memandangkan suaminya sakit.

"Keadaan kesihatan suami kurang memuaskan, jadi kos belanjawan harian ditanggung saya…suami memang tidak bekerja…cuma anak-anak ada bantu sikit dari segi kewangan," katanya ketika ditemu bual di Terminal Bas Rapid Penang, Pengkalan Weld di sini, semalam.

Menurut Nor Shuhaini yang sebelum ini merupakan suri rumah sepenuh masa, minat mendalam mendorongnya untuk bekerja dalam bidang ini.


"Sebelum ini saya tak pernah bekerja, hanya menjadi suri rumah, jangan ingat suri rumah sepenuh masa tidak boleh pegang jawatan sebagai kapten bas, kita boleh sahut cabaran tu.

"Antara cabarannya ialah kami terpaksa bangun seawal 3 pagi dan melapor diri pada 4.30 pagi kerana bas mula beroperasi jam 5.30 pagi," katanya yang berasal dari Sik, Kedah.

Sementara itu, Noor Hafiza Hamzah, 42, yang sudah berkhidmat selama lapan tahun sebagai kapten bas Rapid Penang kini mencabar diri untuk menyambung pengajian pada yang sama.

"Saya mengambil Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengkhususan Sejarah di Universiti Sains Malaysia (USM).

"Alhamdulillah Rapid (syarikat) memberi dua hari cuti bekerja.

"Jadi dengan waktu pekerjaan yang efisien saya mampu mengatur sendiri waktu belajar dan waktu bekerja. Kalau ada kelapangan saya akan membaca, selalunya tiada gangguan," katanya.

Noor Hafiza yang berasal dari Baling, Kedah ini turut berkongsi pengalaman memandu bas ketika menghadapi situasi banjir di sekitar Pulau Pinang.

"Bila (banjir) terlampau teruk, kita tidak akan buat kenderaan lain terbabit sama jadi kita akan hentikan perjalanan sehingga keadaan reda dan pihak pengurusan akan memberi arahan bergerak semula," katanya.

Justeru, sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 semalam, Nor Shuhaini dan Noor Hafiza mengharapkan lebih ramai wanita mencabar diri dan menceburi bidang yang dikatakan didominasikan oleh kaum lelaki ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1068247/nenek-3-cucu-jadi-kapten-bas
Pages: [1]
View full version: Nenek 3 cucu jadi kapten bas


ADVERTISEMENT