sfhzuraz Publish time 8-3-2024 01:19 PM

Pengarah syarikat tak mengaku kemuka maklumat palsu

Pengarah syarikat tak mengaku kemuka maklumat palsu

OlehMOHD ISKANDAR OTHMAN
08 Mac 2024 12:35pm






https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/03/08/2566293.jpg
Yong Keong (kiri) diiringi pegawai KPDN ketika hadir ke mahkamah pada Jumaat.



BUTTERWORTH - Pengarah syarikat pemborong minyak diesel mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mengemukakan maklumat palsu dan enggan mengemukakan dokumen diperlukan berhubung pembelian diesel pada tahun lalu.
Tertuduh, Lai Yong Keong membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.


Mengikut pertuduhan pertama, pengarah syarikat terbabit yang merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel didapati telah memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan bagi sembilan invois atau resit pembelian minyak diesel.
Kesalahan itu dilakukan pada 18 Februari 2023, jam 10.30 pagi di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tingkat 2, Kompleks Sempilai Jaya.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, dia didakwa enggan mengemukakan maklumat berkaitan dokumen iaitu penyata kewangan bank di bawah Syarikat Profusion Petroleum Sdn Bhd seperti yang diminta oleh Pegawai Bekalan melalui borang Arahan Mengemukakan Maklumat Barang Kawalan Di Bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 17 Mac hingga 10 Mac 2023 di lokasi yang sama.
Bagi tiga kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama.



Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Sementara itu, Syarikat Profusion Petroleum Sdn Bhd milik tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi dan masa yang sama di bawah Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.



Yong Keong yang mewakili syarikat itu turut mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Noor Aini.
Syarikat itu berdepan hukuman denda maksimum RM2 juta bagi setiap pertuduhan dan kesalahan kali kedua atau kesalahan berulang denda maksimum RM5 juta.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dan Noh Alimah Mohd Sanusi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Asri Abdul Hamid.
Terdahulu, Syazwani menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan untuk lelaki berkenaan melapor diri ke Pejabat KPDN Pulau Pinang setiap bulan dan dilarang berurusan dengan saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Muhamad Asri memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin yang minima berikutan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang kes disiasat sejak tahun lalu selain tiada risiko untuk melarikan diri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi setiap kes dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan 19 April depan untuk sebutan semula kes.
Pengarah syarikat tak mengaku kemuka maklumat palsu - Sinar Harian

Pages: [1]
View full version: Pengarah syarikat tak mengaku kemuka maklumat palsu


ADVERTISEMENT