mattzzx Publish time 8-3-2024 11:17 AM

El-nino: Penoreh terkesan susu getah kurang disebabkan cuaca panas

https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo1709865902_%281%29_1709867441.jpg
Penoreh getah meninjau keadaan kebun di RPT Sungai Terah, di sini. - NSTP/ PAYA LINDA YAHYA

GUA MUSANG: Cuaca panas susulan fenomena el-Nino memberi kesan kepada penoreh getah di daerah ini dengan rata-rata penduduk mendakwa hasil pengeluaran susu getah semakin berkurang.

Justeru pemberian insentif khas dicadangkan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid sangat membantu pekebun yang terjejas pendapatan mereka sejak bermula El-Nino.

Seorang pekebun, Zahari Daud, 54, berkata, sejak bermula cuaca panas pengeluaran susu getah di kebunnya semakin berkurang dan ia menyebabkan pendapatan penoreh getah semakin berkurang.

"Kalau dalam keadaan biasa, penoreh boleh menoreh getah selang sehari. Namun kini, dalam tempoh tiga hari sekali baru boleh menoreh.


"Keadaan ini sudah pasti memberi kesan kepada kami pemilik kebun dan penoreh getah," katanya ketika ditemui di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah, di sini, hari ini.

Menurut Zahari, pemilik kebun di kawasan itu menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Padang Terap itu baru-baru ini dengan pemberian insentif kepada penoreh getah dan pekebun kecil yang terjejas pendapatan mereka kerana fenomena cuaca panas.

"Besar harapan kami supaya kerajaan dapat mempertimbangkan saranan pemberian insentif ini," katanya.

Penoreh lain, Ahmad Fauzi Salleh, 73, pula berharap insentif itu jika diluluskan dapat diagihkan secara menyeluruh kepada penoreh getah.

"Memang kami penoreh kini tersepit, dengan pendapatan tidak menentu dan perlu menyara keluarga.

"Saya harap kerajaan dapatlah mempertimbangkan cadangan ini dan sekali gus meringankan beban kami yang kais pagi makan pagi," katanya.

Terdahulu media melaporkan kenyataan Nurul Amin yang mencadangkan kerajaan mempertimbang insentif khas kepada penoreh getah dan pekebun kecil yang terjejas pendapatan sehingga 50 peratus akibat fenomena cuaca panas.

Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, cuaca sangat panas menjejaskan pengeluaran susu getah dan meskipun harga getah semasa agak baik, penoreh kecewa apabila getah ditoreh berhenti mengeluarkan susu dalam tempoh 30 minit berbanding dua hingga tiga jam sebelum ini.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/03/1220969/el-nino-penoreh-terkesan-susu-getah-kurang-disebabkan-cuaca-panas
Pages: [1]
View full version: El-nino: Penoreh terkesan susu getah kurang disebabkan cuaca panas


ADVERTISEMENT