mattzzx Publish time 7-3-2024 04:41 PM

Tipu timbang sawit demi kaut untung

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pembereat3212_1709799226.jpg
Alat timbang kenderaan yang disita KPDN di sebuah kilang sawit kerana tidak seimbang. FOTO IHSAN KPDN

Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita Alat Timbang Kenderaan (ATK) digunakan di premis membeli kelapa sawit Padang Terap di sini, kerana didapati tidak seimbang.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, tindakan itu hasil operasi bersepadu dilakukan bersama Syarikat Yang Dilantik (SDL).

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati alat timbang digunakan tidak ditentusahkan dan proses ujian dilakukan menunjukkan ATK berkenaan melebihi had selisih dibenarkan.

"Pasukan penguat kuasa KPDN menyita ATK termasuk peralatan berkaitan dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM37,500.


"ATK itu dipercayai digunakan untuk menimbang kelapa sawit yang dibeli daripada petani dan ejen sekitar kawasan berkenaan," katanya semalam.

Muhammad Nizam berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu menggunakan dan memiliki timbang yang tidak seimbang dan alat yang tidak ditentusahkan.

Beliau berkata, jika disabitkan dengan kesalahan setiap satu boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan timbang atau sukat atau alat timbang atau sukat itu boleh dilucut hak.

"KPDN memandang serius kesalahan itu membabitkan ketelusan dalam urusan jual beli.

"KPDN memberi amaran keras dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penipuan ini.

"Selain itu, KPDN sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pematuhan penggunaan alat timbang dan sukat dalam urusan perniagaan," katanya.

Muhammad Nizam berkata, sehubungan itu orang ramai juga diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN dengan menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui saluran-saluran di Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 atau E-mel e-aduan@kpdn.gov.my.

Beliau berkata, selain itu, maklumat juga boleh disalurkan melalui Aplikasi EZ ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 atau Pejabat KPDN Kedah 04-7001745.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1067798/tipu-timbang-sawit-demi-kaut-untung
Pages: [1]
View full version: Tipu timbang sawit demi kaut untung


ADVERTISEMENT