mattzzx Publish time 5-3-2024 06:34 PM

Terengganu tidak benarkan bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0305rsaidilfitri_1709624931.jpg
FOTO HIASAN

Marang: Kerajaan negeri sudah mengeluarkan arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan tidak membenarkan semua pengoperasian bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia adalah untuk memberi laluan kepada kerja pembersihan sebelum menjelang hari raya Aidilfitri.

Menurutnya, bazar Aidilfitri merujuk kepada aktiviti perniagaan yang membabitkan jualan seperti baju raya, kuih raya dan kelengkapan lain.

Katanya, antara lokasi bazar Aidilfitri yang sering menjadi tumpuan iaitu di Dataran Shahbandar, Batu Buruk dan Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge).


"PBT sudah memaklumkan perkara ini kepada penganjur di dalam taklimat yang diadakan sebelum ini," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu Kali Pertama 2024 di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PBT dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu secara bersama akan melaksanakan Bazar Rahmah yang pada awalnya difokuskan kepada empat bazar.

"Empat Bazar Rahmah iaitu Gong Badak, Kuala Nerus; Sura Gate, Dungun; Hulu Terengganu dan Kampung Raja, Besut.

"Namun, kerajaan negeri memohon kepada KPDN untuk mengembangkan bazar Rahmah ini ke seluruh daerah.

"Ia bertujuan supaya setiap peniaga akan menyediakan satu menu Rahmah yang ditawarkan pada harga di bawah RM5," katanya.

Menurutnya, setiap aktiviti jualan akan dilakukan secara dalam talian iaitu QR Code dan tiap pengunjung akan diberikan RM20 di dalam e-wallet kepada pengunjung bertujuan untuk berbelanja di bazar berkenaan.

Katanya, inisiatif itu dilihat dapat membantu pengunjung bazar berkenaan untuk berbelanja dan membeli juadah yang dijual di bazar terpilih berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1067077/terengganu-tidak-benarkan-bazar-aidilfitri-pada-malam-1-syawal
Pages: [1]
View full version: Terengganu tidak benarkan bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal


ADVERTISEMENT