mattzzx Publish time 4-3-2024 01:46 PM

Pengadil Forest-Liverpool buat kesilapan besar

https://assets.bharian.com.my/images/articles/liver4324a_1709530016.jpg
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez meraikan jaringan pada masa kecederaan ketika menewaskan Nottingham Forest 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di City Ground, Nottingham kelmarin. – Foto AFP

LONDON: Bekas pengadil Mike Dean mengakui Paul Tierney melakukan satu 'kesilapan besar' sebelum Liverpool menjaringkan gol lewat kemenangan ke atas Nottingham Forest kelmarin.

Darwin Nunez menyumbat gol tunggal perlawanan itu pada saat akhir masa kecederaan sekali gus menyaksikan Liverpool menang 1-0 untuk mengukuhkan cabaran mereka merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, kebanyakan analisis selepas perlawanan itu menumpukan terhadap Tierney susulan insiden membabitkan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher.

Permainan dihentikan selepas pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate mengalami kecederaan kepala ketika Callum Hudson-Odoi mahu melakukan hantaran silang buat Forest.



Selepas Konate pulih dengan pantas, Kelleher menyambung permainan tetapi berakhir dengan mengumpan bola kepada rakannya walaupun sepatutnya dia memberikan bola semula kepada Forest.

Liverpool akhirnya berjaya menemui jaringan dengan pemain gantian Nunez meledak gol kemenangan itu.

Sekalipun ada banyak masa antara insiden dan gol itu, Dean berasakan Tierney sepatutnya memberhentikan perlawanan terlebih dahulu.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/liver4324b_1709530019.jpg
Pengadil Paul Tierney melayangkan kad kuning kepada pertahanan Liverpool, Andrew Robertson kerana kekasaran ke atas pertahanan Nottingham Forest, Neco Williams pada aksi Liga Perdana Inggeris di City Ground, Nottingham kelmarin. – Foto AFP

Dean memberitahu Sky Sports: "Sudah tentu Nottingham Forest marah, saya juga akan marah jika saya terbabit dengan Nottingham Forest, tetapi malangnya pengadil melakukan satu kesilapan besar.

"Saya fikir beliau akan tahu pagi ini beliau melakukan satu kesilapan dan harapnya beliau tidak akan mengulangi perkara sama pada masa depan.

"Malangnya buat Paul ia satu kesilapan dan ia kesilapan yang teruk, ia menjurus kepada gol itu.

"Peraturan menyatakan sesiapa yang memegang bola bila permainan dihentikan, bola patut diberikan semula kepada mereka. Jelas Hudson-Odoi memiliki bola dan bola itu patut diberikan kepada Nottingham Forest di bahagian sayap."

Dean berkata, satu kenyataan patut dikeluarkan selepas perlawanan itu mengakui satu kesilapan sudah dilakukan.

Bagaimanapun Dean berkata insiden yang menyaksikan pemilik Forest, Evangelos Marinakis bertelagah dengan Tierney selepas perlawanan itu tidak sepatutnya berlaku. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/03/1219437/pengadil-forest-liverpool-buat-kesilapan-besar
Pages: [1]
View full version: Pengadil Forest-Liverpool buat kesilapan besar


ADVERTISEMENT