mattzzx Publish time 3-3-2024 05:25 PM

RM3.8 billion wang ‘scam’ dipindah ke luar negara

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/03/WhatsApp-Image-2024-03-03-at-14.17.45.jpeg
Ramli ketika melawat reruai selepas merasmikan Majlis Pelancaran Portal Semak Mule 2.0 di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dianggarkan telah memindahkan kira-kira RM3.8 billion wang mangsa penipuan ke 43 negara di seluruh dunia sepanjang tempoh 2021 hingga 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemindahan wang ke luar negara berkenaan dikesan dilakukan 15 syarikat perdagangan yang berdaftar di Malaysia.

Kata beliau, wang tersebut disyaki adalah hasil kegiatan penipuan yang dilakukan di negara ini.

Jelas Ramli, syarikat-syarikat tersebut telah digunakan oleh sindiket penipuan untuk membuka akaun bank bagi tujuan menyalurkan wang hasil penipuan ke negara-negara berkenaan.

“Hasil risikan, JSJK mendapati wujud trend pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat dengan tujuan untuk dijadikan keldai akaun.

“Taktik ini menjadi pilihan kerana ia membolehkan transaksi kewangan dilakukan secara lebih kerap dan melibatkan amaun yang lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Portal Semak Mule 2.0 di Mid Valley Megamall di sini hari ini.

Ramli berkata, modus operandi digunakan adalah membuka syarikat dengan menggunakan khidmat setiausaha syarikat sebelum membuka akaun-akaun berkenaan.

Kata beliau, pendaftaran syarikat yang mudah telah disalah guna oleh sindiket penipuan mendaftarkan akaun keldai untuk menipu.

“Begitu mudah sekarang ini untuk mendaftarkan syarikat. Kadang-kadang tidak ada latar belakang kewangan yang kukuh sudah boleh melakukan transaksi,” jelasnya.

Beliau berkata, JSJK ada menjalankan kerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengenal pasti akaun-akaun keldai yang mengunakan syarikat tertentu.

“Tetapi, ia setakat kenal pasti sahaja. Mereka ini tidak terlepas dalam radar siasatan polis.

“Kita (polis) fokus untuk siasat mana-mana syarikat yang dikenal pasti. Kita siasat siapa ahli lembaga pengarah dan sebagainya. Malangnya, individu berkenaan sendiri tidak mengetahui nama mereka ada dalam syarikat itu,” ujarnya.

Tambah Ramli, kebanyakan yang menjadi ahli lembaga pengarah adalah warga tempatan dengan kerjasama rakan-rakan sindiket mereka di luar negara bagi membolehkan transaksi wang dikembalikan kepada mereka semula.

“Ada satu negara yang kita semak, kebanyakan syarikat yang membuat transaksi didapati telah ditutup operasi mereka sebaik menerima wang,” katanya.-KOSMO! ONLINE.
https://www.kosmo.com.my/2024/03/03/rm3-8-billion-wang-scam-dipindah-ke-luar-negara/
Pages: [1]
View full version: RM3.8 billion wang ‘scam’ dipindah ke luar negara


ADVERTISEMENT