mattzzx Publish time 3-3-2024 11:27 AM

Lauk beku empat tahun

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm284aerawhibu_1709419506.jpg
NUR Hidayu dan adik, Muhammad Ikraam bersama arwah ibu mereka.

Melaka: Hidangan lauk ayam sambal yang menjadi masakan terakhir ibu tersayang sebelum dijemput Ilahi empat tahun lalu menjadi kenangan buat wanita ini terhadap 'syurganya' itu yang masih disimpan dalam peti sejuk beku sehingga kini.

Nur Hidayu Supian, 30, menyimpan masakan berkenaan yang masih dalam pinggan bersama sudu digunakan ibu, Julia Ab Ghani yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 5 Mac 2020 ketika berusia 49 tahun.

Video perkongsian Nur Hidayu yang memaparkan gambar lauk beku dan kubur ibu di TikTok meraih 1.4 juta tontonan meruntun hati netizen yang turut memahami dan merasai kesedihan wanita itu.

Berkongsi kisah, Nur Hidayu berkata, lauk berkenaan yang juga menu kegemaran adik, Muhammad Ikraam, 23, dimasak ibu untuk bekal mereka ke tempat kerja pada pagi hari sama wanita itu meninggalkan mereka buat selamanya.


Menurutnya, pada pagi itu, ibunya kurang bercakap tidak seperti selalu dan menjadi rutin wanita itu memasak lauk untuk bekal ke tempat kerja masing-masing setiap hari.

"Pagi itu sebelum pergi bekerja saya sempat minum air dibancuh ibu dan selepas bersalam serta berjalan keluar rumah, ibu memandang saya dengan tatapan berbeza sehingga saya menutup pintu rumah.

"Saya buka semula pintu dan tanya mengapa dia melihat seperti itu, tetapi ibu cakap tiada apa dan sempat berpesan supaya saya tidak memandu laju. Itu kali terakhir saya dengar suara dan melihat tatapan mata ibu," katanya sayu, semalam.

Katanya, dia kemudian mendapat panggilan telefon daripada bapa yang memaklumkan ibu pengsan di rumah sebelum segera pulang dan mengakui dunianya terasa gelap melihat wanita kesayangan terbaring tidak sedarkan diri.

"Apabila sampai di rumah saya lihat adik duduk dekat kepala ibu dan menangis. Ketika itu lutut saya terasa lemah dan saya pegang tangan ibu yang dingin sebelum pasukan perubatan ambulans mengesahkan ibu sudah tiada," katanya yang tinggal di Tanjung Minyak di sini.

Nur Hidayu berkata, pemergian ibu turut membawa pergi separuh semangatnya dan dia menyimpan hidangan lauk terakhir itu bukan kerana tidak reda dengan ketentuan Ilahi, sebaliknya sekadar kenangan peribadi.

"Saya dan adik memang tak sempat makan bekal ibu sediakan lagipun tak tertelan lauk itu kerana mengingatkan saya pada ibu sebab itu saya simpan lauk itu.

"Memang ramai yang suruh saya buang lauk itu termasuk adik kerana terlalu lama dan makanan juga tidak elok tetapi saya belum ada kekuatan nak buang, biarlah ayam sambal itu dalam peti ais buat masa ini," katanya mengakui mereka tidak memasak lauk berkenaan di rumah selama tiga tahun.

Berhubung perkongsian di TikTok, Nur Hidayu berkata, dia hanya berkongsi kerinduan dan kenangan bersama ibu namun tidak menyangka ia mendapat perhatian ramai serta mengakui rindu pada wanita itu tidak pernah terhenti.
https://www.hmetro.com.my/utama/2024/03/1066232/lauk-beku-empat-tahun
Pages: [1]
View full version: Lauk beku empat tahun


ADVERTISEMENT