mattzzx Publish time 2-3-2024 04:46 PM

Hebatnya doa ibu Adam

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/adamm23_1709366457.jpg
Adam Goh dan Firdaus Wong.FOTO NAZRI ABU BAKAR

Melaka: Restu ibu berlainan agama menjadi pendorong buat mualaf Adam Goh, 49, meraih kemenangan pertandingan memasak sempena Sambutan Mahabbah Tahun Baru Cina Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan di Pengkalan Rama di sini, tadi.

Adam berkata, dia sempat meminta izin ibunya untuk menyertai Pertandingan Dapur Panas Muallaf Peringkat Kebangsaan 2024 berkenaan dan bersyukur kerana muncul juara dalam saingan kompetitif itu.

Katanya, dia yang memeluk Islam sejak enam tahun lalu juga meminta keizinan daripada ibunya sebelum membuat keputusan menukar agama dan yakin semua dilakukan kini atas aturan Allah SWT.

"Kejayaan dalam pertandingan ini adalah hadiah istimewa buat ibu. Pastinya ibu gembira dengan kejayaan berkenaan.



'Saya membuat yang terbaik selepas mendapat tawaran menyertai pertandingan itu. Apapun pengalaman pernah menjadi tukang masak di restoran digunakan sepenuhnya kali ini," katanya.

Dia yang berganding bersama rakannya Firdaus Wong Abdullah, 52, memasak nasi goreng istimewa bersama sayur-sayuran untuk meraih gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000.

Malah baginya kerosakan mata kanan akibat kemalangan jalan raya di Malim kira-kira 20 tahun lalu bukan halangan buatnya untuk menyertai pertandingan kerana sudah terbabit dalam dunia memasak ketika berusia 16 tahun.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr Zulkifli Hasan .

Pelbagai aktiviti diadakan pada program berkenaan termasuk Ceramah Santapan Rohani, Persembahan Tarian Singa dan Gendang Cina (24 Seasons Drum), Pengkisahan Sejarah Kedatangan Islam ke Melaka, Simbolik Yee-Sang Ceremony, Serahan Bakul Makanan dan Penyerahan Ang Pau kepada kanak-kanak dan Selingan Orkestra Cina.

Sementara itu, Zulkifli berkata, perhimpunan membabitkan lebih 500 mualaf daripada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang memeriahkan sambutan berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1066080/hebatnya-doa-ibu-adam
Pages: [1]
View full version: Hebatnya doa ibu Adam


ADVERTISEMENT