mattzzx Publish time 2-3-2024 02:14 PM

Zakat Melaka agih bantuan asnaf sambut Ramadan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/asnaff_1709358692.jpg
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf DUN Tanjung Bidara, di Kampung Pulau Masjid Tanah, hari ini. - NSTP/AMIR MAMAT

MASJID TANAH: Kerajaan negeri menerusi Zakat Melaka memperuntukkan RM6.5 juta untuk diagih kepada 10,420 golongan asnaf di negeri itu sebagai bantuan persediaan menjelang Ramadan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata bantuan menerusi zakat fitrah itu diagih kepada golongan asnaf termasuk fakir dan miskin serta mualaf yang layak.

Daripada jumlah penerima itu, katanya. 220 orang adalah golongan fakir diikuti 8,200 golongan miskin serta 2,000 kumpulan mualaf di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

"Alhamdulillah, kesedaran orang ramai berhubung pembayaran zakat di negeri ini semakin baik.



"Zakat Melaka merekodkan peningkatan jumlah kutipan tahun lalu iaitu RM128.3 juta berbanding RM118.3 juta pada 2022, meningkat hampir RM10 juta," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata demikian pada majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan (Asnaf) MAIM dan Program Back To School DUN berkenaan di Kampung Pulau di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, MAIM turut bersetuju menyalurkan Bantuan Persediaan Ramadan kepada golongan asnaf fakir sebanyak RM400 bagi setiap ketua isi rumah, manakala isi rumah golongan itu akan menerima tambahan RM100 setiap seorang.

Katanya, penerima kategori asnaf miskin akan menerima RM250 bagi setiap ketua isi rumah dan isi rumah kategori itu akan menerima tambahan RM100 setiap seorang.

"Bagi Bantuan Fidyah iaitu hasil bayaran denda atau fidyah oleh saudara Islam, setiap fakir dan miskin akan menerima RM150 seorang dan hanya layak untuk tujuan pembelian barangan keperluan makanan seperti ditetapkan syarak.

"Sumbangan ini diharap dapat membantu golongan asnaf membuat persiapan menyambut Ramadan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/03/1218736/zakat-melaka-agih-bantuan-asnaf-sambut-ramadan
Pages: [1]
View full version: Zakat Melaka agih bantuan asnaf sambut Ramadan


ADVERTISEMENT