mattzzx Publish time 2-3-2024 01:40 PM

PBAPP harap lagi pembenihan awan dilakukan di Pulau Pinang bulan depan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhpembenihanawan_1709356561.jpg
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan dua operasi pembenihan awan di langit di atas kawasan tadahan air di Pulau Pinang pada Selasa dan Rabu lalu bagaimanapun, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak merekodkan sebarang hujan semasa atau selepas operasi pembenihan awan di KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang. Foto PBAPP

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berharap operasi pembenihan awan tambahan akan diadakan sekali lagi di Pulau Pinang, bulan depan.

PBAPP dalam satu kenyataan berkata ini berikutan dua operasi pembenihan yang diadakan pada Selasa dan Rabu lalu tidak menghasilkan hujan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

"PBAPP berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Jabatan Perdana Menteri akan menugaskan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi pembenihan awan tambahan di Pulau Pinang, bulan depan," katanya di sini hari ini.

Kapasiti efektif Empangan Air Itam hari ini ialah 37 peratus, manakala Empangan Teluk Bahang adalah sebanyak 78.1 peratus.



Menurut PBAPP, kapasiti efektif Empangan Air Itam meskipun rendah telah meningkat daripada 32.8 peratus pada 5 Februari lalu dan kekal 37 peratus beberapa hari ini berikutan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).

Di bawah AIDAP 2024, PBAPP mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam sebanyak 75 peratus dengan pengeluaran air terawat Loji Rawatan Air (LRA) Empangan Air Itam juga telah menurun 66 peratus.

"Bagi memastikan bekalan air mencukupi di Air Itam, PBAPP mengepam 33 juta liter air terawat sehari (JLH) dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam," katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, tahap kapasiti efektif Empangan Air Itam berkenaan mampu bertahan kira-kira 32 hari, manakala Empangan Teluk Bahang dijangka boleh bertahan 257 hari.

Pulau Pinang mempunyai satu lagi empangan strategik iaitu Empangan Mengkuang yang mempunyai kapasiti efektif 89.4 peratus dan empangan itu mampu bertahan selama 130 hari jika digunakan kelak.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/03/1218723/pbapp-harap-lagi-pembenihan-awan-dilakukan-di-pulau-pinang-bulan
Pages: [1]
View full version: PBAPP harap lagi pembenihan awan dilakukan di Pulau Pinang bulan depan


ADVERTISEMENT