mattzzx Publish time 2-3-2024 11:41 AM

Dua wanita ditahan bersama 20,000 pil yaba


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/polis_1709338991.jpgGAMBAR hiasan

Kota Bharu: Polis Kelantan menahan dua wanita dan merampas 20,000 biji pil yaba seberat 2,530 gram (g) dalam serbuan di Kampung Sering di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan Operasi Tapis Bersepadu oleh sepasukan Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada 2.30 petang itu menahan dua wanita berusia 32 dan 38 tahun di dalam kereta Perodua Myvi.

"Pemeriksaan dalam kereta menjumpai satu tong yang terdapat satu guni warna putih mengandungi 20,000 biji pil disyaki pil yaba dianggarkan bernilai RM128,480.

"Turut dirampas sebuah kereta Perodua Myvi bernilai RM26,800 dan ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Menurutnya, mereka direman selama tujuh hari bermula 27 Februari hingga 4 Mac untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam kes berasingan, katanya, polis menahan dua penjawat awam termasuk seorang anggota tentera masing-masing dalam dua serbuan berasingan di Kampung Mempelam, Kuala Balah, Jeli dan Kampung Bendang Nyor, Tanah Merah, Ahad lalu.

"Serbuan di Kampung Mempelam menahan pembantu operasi sebuah sekolah berusia 27 tahun dan merampas dua botol plastik mengandungi air ketum bernilai RM20.

"Operasi di Kampung Bendang Nyor menahan seorang anggota tentera berusia 43 tahun dan merampas tujuh biji pil yaba seberat 0.7 g bernilai lebih kurang RM77," katanya.

Muhamad Zaki berkata, Operasi Tapis Bersepadu di seluruh daerah bagi tempoh 25 Februari hingga 29 Februari menahan seramai 376 orang atas pelbagai kesalahan mengikut ADB 1952, ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 65 tahun iaitu 361 lelaki dan 15 perempuan termasuk dua penjawat awam.

"Sepanjang operasi, pelbagai jenis dadah termasuk 3,511.44 g pil yaba, heroin sebanyak 35.93 g, syabu (19.83g) dan 19 kilogram daun ketum berjaya dirampas dianggarkan bernilai lebih RM400,000.

"Pelbagai harta turut disita terdiri daripada kenderaan dan wang tunai dianggarkan bernilai RM73,949.81 dan kes disiasat mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1065948/dua-wanita-ditahan-bersama-20000-pil-yaba
Pages: [1]
View full version: Dua wanita ditahan bersama 20,000 pil yaba


ADVERTISEMENT