mattzzx Publish time 2-3-2024 11:35 AM

Hafizh sedia 'mengaum' di Buriram

https://assets.bharian.com.my/images/articles/hafiz1324_1709296823.jpg
Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menguji jentera baharu pada sesi latihan tertutup di Litar Antarabangsa Sepang beberapa hari lalu. – Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Pelumba Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah berazam untuk 'mengaum' pada penampilan sulung bersama pasukan itu pada pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Buriram, Thailand pertengahan bulan ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu berkata, segala persiapan untuk mengharungi pusingan pertama di Litar Antarabangsa Chang berjalan lancar selepas mengadakan latihan di Litar Sepang, baru-baru ini dengan menunggang motosikal baharu model Ducati Panigale V4R.

"Sejujurnya sepanjang karier dalam perlumbaan, saya belum pernah menunggang motosikal V4R tetapi sistem elektronik yang terdapat di motosikal itu dan apa yang diberitahu oleh ketua mekanik, Loris Caroli kelebihan motosikal itu terletak kepada sistem brek.

"Apabila saya menjalani latihan di Sepang memang dapat rasakan perbezaan terutama sistem brek yang lebih mantap berbanding motosikal lain yang pernah saya tunggang selain sistem suspensi yang baik apabila mengambil selekoh serta kemantapan dari aspek pecutan terutama di litar lurus.



"Boleh saya katakan motosikal V4R ini 'mesra' penunggang dan saya cepat menyesuaikan diri namun saya perlu lebih banyak latihan untuk mendalami lagi sistem elektronik bagi tunggangan lebih laju," katanya.

Pelumba yang mendapat julukan El Pescao menambah ada beberapa pilihan untuk memilih tayar yang sesuai apabila berlumba nanti dan kemungkinan akan menggunakan tayar jenis medium berbanding tayar lembut kerana tayar jenis medium lebih laju ketika berlumba di litar.

Ditanya mengenai cabaran yang akan dihadapi apabila memulakan kempen ARCC di Thailand, Hafizh menganggap juara musim lalu, Markus Reiterberger dari ONEXOX BMW TKKR bakal menjadi pencabar utamanya.

"Saya juga tidak boleh pandang rendah keupayaan pelumba seperti Zaqhwan (Zaidi), senior saya, Azlan Shah (Kamaruzaman) serta pelumba dari Indonesia, Andi Farid (Izdihar) kerana mereka ada kelebihan tersendiri dan saya perlu fokus untuk memantapkan lagi tunggangan dan berusaha untuk meletak diri di podium."
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2024/03/1218568/hafizh-sedia-mengaum-di-buriram
Pages: [1]
View full version: Hafizh sedia 'mengaum' di Buriram


ADVERTISEMENT