mattzzx Publish time 29-2-2024 04:53 PM

Penetapan RM599 harga maksimum tiket penerbangan sempena Aidilfitri munasabah

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm284anthorny_1709196249.jpg
ANTHONY Loke pada majlis Konvokesyen Akademi KTM Ke-6 di Akademi KTM, Batu Gajah. FOTO L Manimaran

Batu Gajah: Penetapan RM599 sebagai harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Aidilfitri tahun ini disifatkan Kementerian Pengangkutan (MoT) sebagai munasabah dalam memastikan kelangsungan industri penerbangan dalam negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia berikutan tiada peruntukan tambahan diterima oleh MoT bagi inisiatif penetapan harga maksimum sebaliknya menggunakan peruntukan sedia ada yang menyebabkan kementerian terpaksa mencari inisiatif tersendiri bagi menampung perbelanjaan.

Katanya, jika syarikat penerbangan sendiri yang diminta untuk menyerap kos baki lebihan yang melepasi harga maksimum ditetapkan maka pastinya kapasiti penerbangan akan dikurangkan bagi mengelakkan syarikat menanggung rugi.

"Sekiranya saya minta syarikat penerbangan untuk menyerap kos ini, mereka akan kurangkan kapasiti. Siapa hendak beroperasi kalau mereka rugi, tambahan bagi syarikat penerbangan swasta.



"Kalau kita tekan syarikat-syarikat penerbangan ini sampai mereka rugi, masalahnya boleh jadi macam MyAirline (MYAirline Sdn Bhd) yang 'tutup kedai' kerana tak dapat 'survive' (bertahan) hingga orang ramai tak dapat 'terbang'. Bila ditutup, yang jadi mangsanya adalah penumpang selain pekerja.

"Jadi saya rasa dan kita perlu difahami bahawa penerbangan satu industri yang dinamik namun sangat kompetitif dan sangat mencabar. Kerajaan perlu berhati-hati apabila kita menetapkan dasar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Akademi KTM (MYRA) ke-6 di sini, hari ini. Pada 24 Februari lalu, Anthony memaklumkan kerajaan membuat ketetapan harga maksimum itu untuk tempoh perjalanan tiga hari menjelang sambutan Aidilfitri.

Beliau dilapor berkata, sebarang kenaikan daripada harga maksimum ditetapkan itu akan ditampung menerusi subsidi kerajaan dalam tempoh tiga hari terbabit.

Ditanya sama ada ketetapan harga RM599 itu munasabah khususnya bagi keluarga yang mempunyai keanggotaan ramai, Anthony berkata, penetapan itu semestinya diletakkan dengan melihat kepada implikasi kewangan yang mampu ditampung pihaknya.

"Soalnya ialah tidak ada satu harga yang akan memuaskan hati semua pihak, jadi kita letakkan harga itu atas implikasi kewangan yang mampu kita tampung dan itu yang kita mampu buat setakat ini.

"Seperti yang saya sudah berulang kali dinyatakan, saya tiada peruntukan tambahan untuk inisiatif ini hingga saya terpaksa mencari jalan bagaimana hendak menampung perbelanjaan. Bila kita letak harga maksimum maka baki ataupun kekurangan itu perlu ditampung oleh MoT kepada syarikat-syarikat penerbangan.

"Pada satu pihak kita betul apabila hendak bantu menjaga kebajikan penumpang iaitu untuk membantu lebih ramai penumpang mendapat harga lebih berpatutan. Tetapi di pihak lain, kita juga kena melihat kelangsungan industri itu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1065517/penetapan-rm599-harga-maksimum-tiket-penerbangan-sempena-aidilfitri
Pages: [1]
View full version: Penetapan RM599 harga maksimum tiket penerbangan sempena Aidilfitri munasabah


ADVERTISEMENT