mattzzx Publish time 29-2-2024 04:01 PM

Bekas guru agama terlepas hukuman mati bunuh teman wanita

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/Mahkamah-3-2.jpeg
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang bekas guru agama terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan penjara 33 tahun dan dikenakan 12 sebatan kerana membunuh teman wanitanya yang juga janda anak empat, hampir sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof mengetepikan hukuman gantung yang diputuskan terhadap Abdul Ra’of Mohd. Dimyati, 35, selepas membenarkan rayuan akhirnya terhadap hukuman.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Bekas guru di sebuah sekolah rendah agama (SRA) itu disabitkan membunuh peniaga dalam talian, Nor Salina Nazir, 34, di kawasan lapang tepi sekolah itu di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pukul 8.30 malam, 5 Mei 2015.

Perayu yang sewaktu kejadian berusia 26 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang ketika itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Abdul Ra’of didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 April 2018 dan keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 10 Ogos 2020.

Terdahulu, peguam Muhammad Izzat Irfan yang mewakili perayu memaklumkan, pihaknya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pengecualian hukuman mati sejajar dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fuad Aziz dan memohon agar perayu dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 35 tahun dan sebatan minimum 12 kali.

Bagaimanapun, Muhammad Izzat yang mengemukakan rayuan terhadap hukuman memohon pemenjaraan tidak melebihi 35 tahun.

Hujah peguam bela, anak guamnya yang tiada rekod jenayah, tidak mempunyai motif atau perancangan awal membunuh mangsa.

“Anak guam saya menyesal serta insaf atas kekhilafan itu serta memohon maaf kepada keluarga mangsa. Perayu telah berada dalam penjara selama hampir sembilan tahun sejak tarikh tangkapan pada 6 Mei 2015,” hujah peguam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, mayat Nor Salina ditemui bapanya dalam keadaan terlentang di dalam kereta Proton Wira miliknya dengan tujuh kesan tikaman pada anggota badan.

Terdahulu, mangsa dikatakan keluar dengan kekasihnya pada malam kejadian untuk menghantar barang tempahan kepada pelanggan namun tidak pulang ke rumah selepas itu.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada tindakan wanita tersebut yang mendesak kekasihnya untuk berkahwin. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/29/bekas-guru-agama-terlepas-hukuman-mati-bunuh-teman-wanita/
Pages: [1]
View full version: Bekas guru agama terlepas hukuman mati bunuh teman wanita


ADVERTISEMENT