mattzzx Publish time 29-2-2024 11:08 AM

Melaka sasar nilai pelaburan diluluskan RM10 bilion

https://assets.bharian.com.my/images/articles/rawopa_1709174900.jpg
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (depan tengah) bersama pemain industri yang menerima anugerah penghargaan sempena Malam Industri Melaka di Banda Hilir, malam tadi. - NSTP/AMIR MAMAT

MELAKA: Kerajaan Melaka meletakkan sasaran nilai pelaburan yang diluluskan di negeri ini tahun ini mencecah RM10 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata dengan fokus diberikan kepada 10 bidang industri utama, iaitu elektrik dan elektronik, automotif, aeroangkasa, minyak dan gas, teknologi boleh diperbaharui, sektor pembuatan halal, bioteknologi, mesin dan peralatan, farmaseutikal dan maritim.

Sejajar dengan hasrat untuk merealisasikan sasaran itu, katanya, Melaka Corporation (MCORP) akan membangunkan tiga lagi kawasan perindustrian baharu, iaitu pembangunan MCORP Hi-Tech Park berkeluasan 2,000 hektar, German Tecnology Park (360 hektar) dan Elkay 2.0 (240.68 hektar).

"Kerajaan negeri sudah memperoleh kelulusan Kementerian Ekonomi melalui MCORP bagi melaksanakan tiga projek untuk kerja awalan projek fizikal binaan bagi jabatan atau agensi di bawah kementerian itu tahun ini dengan peruntukan pembangunan RM4.4 juta.



"Semua pembangunan perindustrian yang bercirikan teknologi tinggi ini diharap dapat memenuhi dan melengkapi keperluan pelabur untuk terus mengadakan usaha sama dan meneraju pembangunan perindustrian sehingga peringkat global," katanya.

Berucap merasmikan Malam Industri Melaka, di sini malam tadi, Ab Rauf berkata, selain menitikberatkan penyediaan prasarana fizikal seperti kawasan perindustrian dan kemudahan sokongan industri lain, kerajaan negeri turut konsisten dalam menambah baik perkhidmatan.

Katanya, langkah itu dibuat melalui pemerkasaan peranan Invest Melaka sebagai pusat pemudah cara dan pembangunan pelaburan.

"Invest Melaka adalah induk yang akan menerajui agensi promosi pelaburan (IPA) negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan serta agensi teknikal, sekali gus mencetuskan idea penubuhan Jawatankuasa Sekretariat Melaka Industrial Booster (MIB)," katanya.

Ab Rauf menjelaskan, MIB akan bertindak sebagai First Point Of Contact atau titik perhubungan pertama bagi mentadbir urus berkaitan kemudahan pelaburan di Melaka, sekali gus membolehkan proses permohonan dan urusan pelaburan dilaksanakan lebih teratur dan pantas.

"Ia sekali gus membuka ruang dan peluang kepada pelabur tempatan serta antarabangsa untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi di Melaka," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membangunkan Malacca Center of Excellence bagi menyokong keperluan industri di samping meningkatkan pembangunan modal insan dalam peluang pekerjaan.

"Saya yakin dengan usaha pembangunan Malacca Center of Excellence, Melaka akan menjadi satu pusat pembekalan sumber manusia dengan disokong pembangunan Majlis TVET Nasional yang akan ditubuhkan di negeri ini kelak," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1217931/melaka-sasar-nilai-pelaburan-diluluskan-rm10-bilion
Pages: [1]
View full version: Melaka sasar nilai pelaburan diluluskan RM10 bilion


ADVERTISEMENT