mattzzx Publish time 28-2-2024 05:21 PM

Penunggang melambung motosikal dirempuh Toyota Vios

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/WhatsApp-Image-2024-02-28-at-2.58.35-PM.jpeg
KEADAAN kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di Batu 21 Jalan Muar-Parit Sulong, Batu Pahat pagi semalam.

BATU PAHAT – Seorang penunggang motosikal melambung kira-kira 10 meter ke udara selepas dilanggar sebuah kereta menyebabkannya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia dalam kejadian di Batu 21 Jalan Muar – Parit Sulong pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan Mohd Riduan Abdullah, 58, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Beneli dengan kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika penunggang motosikal datang dari arah Parit Sulong menuju ke Muar manakala kereta Toyota Vios dari arah bertentangan.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, pemandu kereta Toyota Vios dikatakan telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang berasal dari Merlimau, Melaka melambung dan tercampak ke dalam tali air bersebelahan jalan serta mengalami kecederaan parah pada bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi hari ini untuk mengesahkan kejadian.

Sebelum itu, tular satu rakaman kamera papan pemuka dari sebuah kenderaan berdurasi enam saat memaparkan sebuah kereta bertembung sehingga menyebabkan penunggang motosikal melambung ke udara sebaik pertembungan berlaku.

Susulan daripada kejadian itu, Shahrulanuar berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ujarnya lagi, pemandu kereta yang hanya mengalami kecederaan ringan di kepala dan kaki dibuat ujian saringan air kencing namun mendapati tidak terpegaruh dengan sebarang jenis dadah.

“Mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga petang semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/28/penunggang-melambung-motosikal-dirempuh-toyota-vios/
Pages: [1]
View full version: Penunggang melambung motosikal dirempuh Toyota Vios


ADVERTISEMENT