mattzzx Publish time 28-2-2024 04:48 PM

Sindiket seludup PATI 'Ali Rohingya' tumpas di Kelantan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/430484671_714294254215536_3937369355207481663_n_1709109905.jpg
Sindiket seludup PATI ‘Ali Rohingya’ tumpas. - Foto ihsan FB Imigresen

KUALA LUMPUR: Kegiatan tekong darat dikenali 'Ali Rohingya' yang menyediakan rumah 'tumpang' buat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang mendarat di Kelantan sebelum dihantar ke ibu kota, ditumpaskan Jabatan Imigresen.

Kegiatan itu dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dipercayai turut didalangi lelaki etnik Rohingya dikenali 'Rahim' yang berperanan mengatur pergerakan warga asing.

Pada Sabtu lalu, Pasukan Taktikal Khas Imigresen (PASTAK) melancarkan Op Khas menyerbu beberapa lokasi sekitar Kota Bharu membongkar kegiatan itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pada jam 1 pagi itu dijalankan rentetan daripada tangkapan Geng Bob pada 3 Februari lalu.


"Berdasarkan maklumat risikan, pasukan serbuan mengesan sebuah kenderaan dipercayai dipandu tekong darat sebelum berhenti di sebuah stesen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh di Kota Bharu.

"Susulan itu, imigresen mengepung kenderaan suspek. Menyedari kenderaannya dihampiri pihak berkuasa, suspek memecut dan berlaku pelanggaran kecil dengan kenderaan pasukan operasi.


https://assets.bharian.com.my/images/articles/430012296_714294230882205_6622756459426180933_n_1709109908.jpg
Sindiket seludup PATI ‘Ali Rohingya’ tumpas. - Foto ihsan FB Imigresen

"Tindakan pantas anggota PASTAK berjaya menahan suspek yang dikenali sebagai Ali berketurunan etnik Rohingya dan dipercayai dalang utama sindiket ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta Perodua Kelisa yang dipandu suspek menemui tiga wanita dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 19 hingga 21 tahun.

"Berdasarkan maklumat, mereka dipercayai berhenti di stesen minyak itu yang sering dijadikan lokasi menunggu bas ekspres, sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.

"Pasukan kemudian memeriksa rumah dipercayai kediaman Ali dan menemui sepucuk pistol angin. Susulan penahanan Ali, pasukan serbuan menyerbu rumah di sekitar Pengkalan Kubor, Kota Bharu.

"Imigresen berjaya menangkap Rahim yang disyaki orang kanan Ali dan turut menahan empat lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 16 hingga 27 tahun," katanya yang memberitahu sebuah Perodua Viva turut dirampas.

Ruslin berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah membawa masuk PATI warga Myanmar melalui laluan haram di sempadan pada waktu malam.

"PATI ditempatkan di rumah penampungan sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres bagi mengaburi pihak berkuasa. Sindiket ini dipercayai beroperasi selama enam bulan dan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 seorang .

"Seramai 10 PATI termasuk dua lelaki etnik Rohingya yang disyaki tekong darat dibawa ke pejabat Imigresen Kelantan untuk siasatan, manakala dua kereta yang digunakan dalam kejadian ini disita," katanya.

Menurutnya, imigresen percaya dengan penahanan dua tekong etnik Rohingya itu, imigresen berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan PATI yang aktif di Kelantan.

Katanya, jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/02/1217739/sindiket-seludup-pati-ali-rohingya-tumpas-di-kelantan
Pages: [1]
View full version: Sindiket seludup PATI 'Ali Rohingya' tumpas di Kelantan


ADVERTISEMENT