mattzzx Publish time 28-2-2024 01:28 PM

KWSP umum kadar dividen 2023 pada Ahad ini

https://assets.bharian.com.my/images/articles/BT030322FS012_%281%29_1709096224.jpg
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) - Gambar fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadualkan mengumumkan dividen bagi 2023 pada Ahad ini.

Dalam satu notis sidang akhbar yang dihantar hari ini, KWSP berkata pengumuman itu akan dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru dilantik, Ahmad Zulqarnain Onn pada pagi Ahad ini.

Beliau memulakan tugasnya sebagai CEO baharu KWSP pada 19 Februari lalu.

KWSP telah mengumumkan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah sejak 2017.



Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September tahun lalu, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion, kenaikan sebanyak 33 peratus berbanding RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama 2022.

Dividen paling tinggi pernah diberikan oleh KWSP adalah 8.5 peratus iaitu dari 1983 hingga 1987.

Pada tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 2022 sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus bagi Simpanan Shariah.

Bagi 2023, penganalisis menjangkakan KWSP akan mengumumkan dividen pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, lebih baik berbanding dividen yang diberikan pada 2022.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata jangkaan positif dalam pengagihan kadar dividen lebih baik untuk 2023 berdasarkan prestasi suku tahun semasa KWSP.

Katanya, KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion.

"Justeru, dana persaraan ini ada kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar. Namun disebabkan saiz dana pelaburan yang besar, KWSP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat pulangan tinggi dari sudut ringgit, walaupun peratusan yang kecil.

"Misalnya, untuk setiap satu peratus dividen, KWSP dengan aset RM1.1 trilion perlu membayar RM11 bilion dan ini cukup mencabar dalam situasi ekonomi semasa. Namun, KWSP dijangka memberi pulangan dividen lebih baik dengan unjuran antara 5.5 hingga 6.5 peratus," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1217606/kwsp-umum-kadar-dividen-2023-pada-ahad-ini
Pages: [1]
View full version: KWSP umum kadar dividen 2023 pada Ahad ini


ADVERTISEMENT