mattzzx Publish time 28-2-2024 12:09 PM

Mengejar matahari terbit di Jubakar Pantai

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/JUBAKAR_LAUT_1709090125.jpg
PEMANDANGAN matahari terbit yang dirakamkan di Kampung Jubakar Pantai. FOTO Bernama

Tumpat: Dalam kalangan peminat fotografi landskap, nama Jubakar Pantai yang terletak menghadap Laut China Selatan pasti berada dalam senarai impian mereka kerana lokasi itu menawarkan satu pengalaman berbeza apabila merakam magis matahari terbit.

Jurugambar sepenuh masa, Raja Noor Kamal Raja Hussin, 53, berkata, Jubakar Pantai menawarkan antara perkara utama yang dimahukan peminat fotografi landskap iaitu lokasi menarik dan subjek.

"Jubakar Pantai menjadi tumpuan peminat fotografi bermula Mac hingga Ogos setiap tahun.

"Dalam tempoh itu air di kawasan ini tenang dan tidak berombak, membolehkan perahu yang biasanya menjadi subjek tidak bergoyang, malah memberi kesan pantulan seakan cermin," katanya kepada Bernama di Jubakar Pantai baru-baru ini.



Bercerita lanjut, Raja Noor Kamal atau mesra disapa 'Abe Ku' berkata pemandangan matahari terbit yang menarik dengan kesan pantulan sukar diperoleh di lokasi lain.

"Apabila peminat fotografi landskap berkongsi imej bidikan mereka menerusi media sosial, kawasan Jubakar Pantai ini semakin terkenal kerana yang datang bukan sahaja dari dalam malah luar negara.

"Malah ada satu kumpulan dari Singapura datang ke sini hampir setiap tahun dan menjadikan Jubakar Pantai satu daripada lokasi untuk mereka mengambil gambar," katanya yang berpengalaman merakam matahari terbit di Jubakar Pantai sejak 2009.

Satu pemandangan biasa melihat peminat fotografi landskap memenuhi kawasan Jubakar Pantai seawal 6.30 pagi, mereka bukan sahaja datang bersama kamera jenis kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) atau kamera tanpa cermin lensa tunggal digital (DSLM), malah ada juga yang menggunakan telefon pintar.

Bagi Azmihan Muhammad, 48, beliau sanggup datang dari Pasir Puteh ke Jubakar Pantai untuk merakam detik matahari terbit di Jubakar Pantai.

"Sebelum ini saya gunakan kamera DSLR, tetapi kini lebih banyak gunakan telefon pintar kerana kemajuan teknologi ia sudah memadai dan imej yang dirakam juga masih cantik serta menarik," katanya.

Pemilik Rumah Singgora, rumah makan tradisional Mohamad Salleh, 47, berkata sebagai peminat fotografi beliau tidak ketinggalan bersama rakan-rakan lain sekiranya berkelapangan untuk ke Jubakar Pantai.

"Jika ada outing di Jubakar Pantai, rakan-rakan dalam Komuniti Lensa Kelantan (KLiK) akan maklumkan kepada ahli yang lain, kami akan berkumpul di sebuah masjid berhampiran selepas solat Subuh semua akan datang ke lokasi ini.

"Matahari terbit di Jubakar Pantai sangat cantik, ia bertambah menarik kerana ada pelbagai subjek seperti perahu nelayan di lokasi ini yang penting kreativiti masing-masing," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1064992/mengejar-matahari-terbit-di-jubakar-pantai
Pages: [1]
View full version: Mengejar matahari terbit di Jubakar Pantai


ADVERTISEMENT