mattzzx Publish time 27-2-2024 03:45 PM

KDN pantau aplikasi al-Quran dalam talian tiada kelulusan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/kdnn_1709017324.jpg
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof pada sidang media berkenaan kawalan terhadap aplikasi SMART al-Quran di pejabat KDN di Jalan Tengku Petra Semerak di sini, hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau beberapa aplikasi al-Quran dalam talian yang berada di pasaran, namun tidak mendapat kelulusan dan perakuan.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, pihaknya mendapati beberapa aplikasi ini berada di pasaran dan diguna pakai oleh masyarakat Islam.

Katanya, aplikasi al-Quran yang tidak mendapat kelulusan dan perakuan daripada KDN serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini dibimbangi akan mengelirukan masyarakat Islam.

"Beberapa aplikasi al-Quran yang dibangunkan oleh syarikat pembangunan aplikasi tempatan ini tidak mendapat kelulusan dan ada juga yang masih belum membuat permohonan.



"Aplikasi yang tidak diperakukan kerana tidak melalui proses semakan oleh Lajnah Tashih al-Quran Malaysia. Jadinya, kita meminta syarikat pembangunan aplikasi untuk mengemukakan salinan perisian pruf akhir teks al-Quran kepada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Teks al-Quran KDN (LPPPQ KDN)," katanya pada sidang media di pejabat KDN di Jalan Tengku Petra Semerak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Yusaimi berkata, hanya aplikasi Smart Quran yang mempunyai kelulusan dan terbukti kesahihan untuk diguna pakai oleh masyarakat Islam di negara ini mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986 (Pindaan) 2023.

Katanya, aplikasi itu dibangunkan dengan kerjasama KDN dan mendapat kelulusan JAKIM serta berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Bagi kelulusan ini, syarikat penerbitan al-Quran hendaklah dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam dan mengikut APTQ 1986, penerbitan dalam apa jua bentuk yang mengandungi satu juzuk atau lebih ayat al-Quran termasuklah aplikasi al-Quran hendaklah mendapatkan perakuan KDN yang perlu melalui proses semakan pakar sebelum berada di dalam masyarakat di negara ini," katanya.

Beliau berkata, kawalan itu perlu bagi menjamin kesucian ayat al-Quran yang betul untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia serta mengelakkan ayat dikelirukan sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, sehingga kini sebanyak 966 jenis al-Quran di negara ini termasuk al-Quran elektronik yang diluluskan atau diperakukan oleh KDN untuk jualan serta edaran di Malaysia.

"KDN sentiasa mengalu-alukan permohonan semakan al-Quran dalam apa jua bentuk bagi tujuan untuk mendapatkan perakuan daripada KDN. Orang ramai juga digalakkan memberikan kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan teks atau bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN serta bercanggah dengan APTQ 1986 (Pindaan) 2023," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1217239/kdn-pantau-aplikasi-al-quran-dalam-talian-tiada-kelulusan
Pages: [1]
View full version: KDN pantau aplikasi al-Quran dalam talian tiada kelulusan


ADVERTISEMENT