mattzzx Publish time 25-2-2024 05:29 PM

NGO tetap bantah pembangunan KSAS

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/KEL_1708850879.jpg
Di antara wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam sesi Pendengaran Bagi Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan Di Negeri Kelantan (Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Dan Rancangan Kawasan Khas di Bilik Gerakan Kerajaan Negeri. foto Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyatakan bantahan terhadap pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) yang didakwa akan merosakkan kitaran biodiversiti.

Antara NGO berkenaan termasuklah Sahabat Alam Malaysia (SAM); Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA); Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS); Persatuan Pecinta Alam Malaysia Cawangan Kelantan; Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung (Jaringan); dan Persatuan Cakna Alam Kelantan.

Pengerusi KUASA, Hafizudin Nasarudin berkata, kerajaan negeri terlebih dahulu perlu mempertimbangkan cadangan untuk memajukan rancangan pembangunan KSAS kerana ia membabitkan kawasan perkampungan Orang Asli.

"Sekiranya KSAS dimajukan ia mungkin akan memberi ruang kepada aktiviti pembangunan yang tidak sesuai dan di Kelantan terdapat banyak aktiviti pembalakan yang lebih cenderung kepada 'tebang cuci mangkuk' atau tebang habis.



"Selain itu, banyak lagi perkara yang akan berlaku, antaranya aktiviti perlombongan, pembukaan ladang dan kebun sayur yang akan dibuka di kawasan hutan simpan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar perkarangan Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Terdahulu, wakil NGO berkenaan hadir dalam sesi Pendengaran Bagi Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan Di Negeri Kelantan (Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Dan Rancangan Kawasan Khas yang diadakan hari ini.

Katanya, jika kerajaan negeri tidak mengawal cara pembukaan hutan, ia akan menyebabkan ekonomi negeri dalam keadaan kritikal kerana perlu menanggung kos ganti rugi akibat bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

"Tidak mustahil juga pada masa akan datang terdapat banyak lagi eksploitasi secara besar-besaran yang akan berlaku.

"Mutakhir ini kita melihat banyak eksploitasi sudah berlaku sehingga mengakibatkan nyawa manusia terkorban akibat serangan harimau disebabkan haiwan ini kehilangan habitat dan kita tidak mahu situasi ini berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, Pegawai lapangan SAM, Meor Razak Meor Abd Rahman berkata, pihaknya membantah KSASA disebabkan bercanggah dengan Rancangan Pembangunan Perancangan Fizikal di peringkat nasional yang perlu diterjemah, diselaras, serta diperincikan di peringkat perancangan wilayah atau negeri melalui Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK).

"Pada masa sama, keputusan untuk memajukan KSAS juga dilihat tidak membantu kerajaan yang selama ini mahu semua negeri melindungi kawasan sedia ada dalam Seksyen 6B(5) Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172).

"Selain itu, masih terdapat kawasan berkepentingan biodiversiti terutamanya hutan paya laut di Kelantan khususnya di daerah Pasir Puteh," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1064141/ngo-tetap-bantah-pembangunan-ksas
Pages: [1]
View full version: NGO tetap bantah pembangunan KSAS


ADVERTISEMENT